Pusat Media

Rangkaian 3G di Malaysia tamat akhir 2021

30 Dis 2020, Berita Harian

CYBERJAYA: Rangkaian 3G di negara ini akan ditamatkan sepenuhnya pada akhir 2021, seiring dengan inisiatif meningkatkan liputan jalur lebar yang komprehensif dan berkualiti tinggi di bawah infrastruktur Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA).

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) dalam sorotan prestasi 2020 berkata, penamatan secara berkala itu bagi mempersiapkan negara untuk peralihan ke arah teknologi 5G.

MCMC berkata, spektrum akan digunakan semula untuk meningkatkan liputan 4G dan kapasiti untuk liputan serta asas 5G.

Katanya, ia adalah sebahagian daripada langkah Fasa Pertama JENDELA yang akan berterusan sehingga 2022 dengan menetapkan beberapa sasaran utama.

"Antaranya adalah memperluaskan liputan mudah alih 4G dari 91.8 peratus kepada hingga 96.9 peratus di kawasan berpenduduk serta peningkatan kelajuan jalur lebar mudah alih dari 25M bps kepada 35 Mbps.

"Ia juga akan merangkumi jalinan jaringan jalur lebar di 7.5 juta premis selain penamatan rangkaian 3G," jelas suruhanjaya itu.

Sementara itu, MCMC berkata, Projek Demonstrasi 5G (5GDP) akan dilanjutkan sehingga Jun 2021 meliputi kawasan perindustrian yang disasarkan khususnya untuk industri yang memerlukan teknologi 5G.

"Pandemik COVID-19 meningkatkan keperluan segera dan perlu penyambungan tanpa gangguan yang boleh diakses oleh semua rakyat tidak kira sama ada mereka berada di kawasan bandar atau luar bandar.

"JENDELA bertujuan untuk meningkatkan infrastruktur komunikasi digital negara dan mempercepatkan penggunaan penyelesaian yang akan membantu Malaysia bertindak balas serta menyesuaikan diri dengan kehendak digital global.

"Sasaran dan rancangan JENDELA digubal bersama oleh MCMC, peserta industri dan pelbagai agensi di peringkat persekutuan, negeri, dan tempatan," katanya.

Pengerusi MCMC, Dr Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek dalam laporan sebelum ini berkata, suruhanjaya itu akan berusaha secara agresif menjayakan matlamat untuk memacu Malaysia ke arah kesalinghubungan digital yang lebih baik.

Beliau berkata, MCMC menyasarkan 1.2 juta premis dan kediaman dilengkapi pembangunan jaringan jalur lebar menjelang 2021 di bawah JENDELA.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelan tindakan JENDELA pada Ogos lalu, sebahagian daripada Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-2025), yang akan menyediakan asas untuk liputan jalur lebar komprehensif dan berkualiti tinggi serta mempersiapkan negara untuk peralihan ke arah teknologi 5G.

Bulan lalu, SKMM mempercepatkan pembukaan tender fasa pertama JENDELA bernilai RM4.6 bilion yang boleh dibida sehingga 31 Mac depan.

Tender berkenaan membabitkan pembinaan 1,661 lokasi bagi menara telekomunikasi di seluruh negara, yang mana pembayarannya bergantung kepada tahap pelaksanaan.

Kongsi artikel ini
Follow