Pusat Media

Sasaran purata kelajuan 50Mbps di Putrajaya berjaya dicapai

01 Apr 2022, Wilayahku
Sasaran purata kelajuan 50Mbps di kawasan Persiaran Boulevard di Presint 1 hingga Presint 6 Putrajaya telah berhasil dicapai dan kerja-kerja pembinaan struktur telekomunikasi baharu dan proses menaik taraf struktur sedia ada juga sedang giat dilaksanakan dan dijadualkan akan siap sepenuhnya pada bulan Mei 2022.

Ia dilaporkan menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Induk Infra Digital Smart Putrajaya Bil 1/2022 yang telah diadakan baru-baru ini. Mesyuarat yang dipengerusikan secara bersama oleh Ketua Pegawai Operasi MCMC, Datuk Mohd Ali Hanafiah Mohd Yunus, dengan Naib Presiden (Undang-Undang), Perbadanan Putrajaya (PPj), Kamal Azira Hassan telah membincangkan isu berkaitan liputan dan tahap kelajuan internet di Putrajaya. Turut dilaporkan ialah pencapaian sasaran-sasaran yang telah berjaya dicapai khususnya sepanjang tahun 2021.

Menurut kenyataan bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Perbadanan Putrajaya, “Isu liputan internet di Kompleks Pejabat Kerajaan Parcel F telah berjaya diselesaikan dan sasaran purata kelajuan 50Mbps di kawasan Persiaran Boulevard di Presint 1 hingga Presint 6 telah berjaya dicapai. Apa yang penting pada masa sekarang ialah bukan sahaja mengekalkan pencapaian tersebut tetapi juga memastikan agar penyedia perkhidmatan meningkatkan tahap kualiti perkhidmatan dalam menyediakan pengalaman terbaik dan untuk kepuasan pengguna” katanya.

Tambahnya lagi, bagi merealisasikan aspirasi ini sebanyak 29 struktur telekomunikasi baharu yang dikenali sebagai Distributed Radio Access Network (DRAN) telah dibangunkan di Putrajaya. Disamping itu juga, sebanyak 31 struktur pemancar komunikasi sedia ada juga telah dinaik taraf. “Ia bagi memastikan kualiti dan kapasiti perkhidmatan jalur lebar tanpa wayar di Putrajaya dapat dipertingkatkan di mana usaha ini digerakkan secara bersama oleh MCMC dan PPj dengan kerjasama syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi,” ujarnya.

MCMC berkata mesyuarat ini juga turut mengumumkan persetujuan daripada pihak PPj untuk mengguna pakai Sistem Pengurusan Permit Infrastruktur Komunikasi/ Communication Infrastructure Permit Management System (CIPM). “Penggunaan sistem CIPM ini bertujuan untuk memudahkan urusan permohonan dan kelulusan pembaharuan permit prasarana telekomunikasi. “Di samping itu ianya juga memperkukuhkan tadbir urus dan sistem penyampaian kerajaan melalui perkhidmatan teknologi digital dan secara dalam talian bagi memberikan perkhidmatan yang berkualiti serta efektif,” jelasnya sambil menambah satu majlis permeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) CIPM di antara MCMC dan PPj akan diadakan di satu majlis berasingan dalam masa terdekat.

Menerusi mesyuarat itu, MCMC berkata status pelaksanaan 5G oleh Digital Nasional Berhad (DNB) di Putrajaya turut dilaporkan, di mana sebanyak 125 tapak telah dirancang sepanjang tahun 2021-2022 dan setakat ini sebanyak 45 tapak telah pun siap beroperasi sepenuhnya. Pengarah MCMC Wilayah Persekutuan, Alyas Roy Haji Amir yang ditemui di mesyuarat itu berkata bahawa platform seumpama ini sememangnya sangat penting bukan sahaja mendorong ikatan sosial dan kerjasama yang lebih kuat antara ahli jawatankuasa tetapi juga menjadi pusat penjanaan minda dan pengemblingan idea serta penghasilan gerak kerja yang lebih produktif dan efektif. “Mesyuarat juga bersetuju supaya frekuensi kekerapan mesyuarat ini diadakan dalam 2 kali setahun atau lebih mengikut keperluan,” katanya
Kongsi artikel ini
Follow