Pusat Media

SKMM beri bantuan teknikal kepada PDRM

10 Jul 2021, Berita Harian

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan memberi bantuan teknikal kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membanteras kewujudan aplikasi kemudahan pinjaman wang dibangunkan sindiket pemberi pinjaman wang tanpa lesen atau along.

Pengerusi SKMM, Dr Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek, berkata suruhanjaya itu sentiasa berhubung dengan PDRM bagi menangani isu berbangkit secara kolektif dan menyeluruh.

"Maklum balas SKMM sentiasa sama seperti sebelum ini membabitkan isu berkenaan iaitu pihak kami akan membantu daripada segi teknikal.

"Kita tidak hanya bekerjasama dengan pasukan keselamatan itu bagi menangani kes aplikasi terbabit, malah sentiasa aktif berhubung bagi perkara lain," katanya kepada BH hari ini.

Semalam, PDRM dilaporkan akan bekerjasama dengan SKMM bagi membanteras kewujudan aplikasi itu susulan berlaku kes data peribadi peminjam dicuri dan disalah gunakan sindiket along untuk mengugut peminjam yang membuat pinjaman wang menggunakan aplikasi berkenaan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd Kamaruddin Md Din, dilaporkan berkata pihaknya dalam proses untuk melakukan perbincangan dengan SKMM bagi menyekat aplikasi sedemikian.

Kongsi artikel ini
Follow