Pusat Media

SKMM jalin kerjasama pelbagai pihak, tingkat kesedaran vaksinasi

25 Jun 2021, Berita Harian

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menjalinkan kerjasama dengan pelbagai pihak bagi meningkatkan kesedaran dan menggalakkan masyarakat mendapatkan vaksin COVID-19 menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

SKMM dalam kenyataan media berkata, kerjasama dijalinkan dengan Bahagian Komunikasi Strategik (BKS) Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) membolehkan bahan serta pesanan penting kerajaan disampaikan kepada pihak penyiaran televisyen dan radio swasta.

Sepanjang Mac hingga Mei tahun ini katanya, sebanyak 71,871 Pesanan Khidmat Awam (PKA) dan hebahan disiarkan pihak penyiaran televisyen dan radio swasta kepada orang awam termasuk Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan BERNAMA.

"SKMM juga bekerjasama dengan pihak lain termasuk Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan (KKM) dan 14 penyedia perkhidmatan telekomunikasi di negara ini termasuk ALTEL, Celcom, Digi, Maxis, Merchantrade, Pavocomms, Redtone dan Telekom Malaysia.

"Melalui kerjasama ini, 21 jenis hebahan dan mesej kesedaran berkaitan vaksinasi dihantar kepada 44 juta pelanggan perkhidmatan syarikat telekomunikasi melalui Sistem Pesanan Ringkas (SMS) dan platform media sosial secara meluas ke seluruh negara," katanya dalam kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, sebanyak 873 Pusat Internet Komuniti (PIK) seluruh negara turut digerakkan bagi membantu orang awam terutamanya warga emas yang berdepan kesukaran mendaftar sebagai penerima vaksin COVID-19 melalui aplikasi My Sejahtera.

"Setakat 20 Jun lalu, jumlah individu yang mendapatkan khidmat bantuan bagi pendaftaran vaksin di PIK seluruh negara termasuk mereka yang tidak mempunyai liputan internet memuaskan di kawasan masing-masing adalah sebanyak 15,327 orang," katanya.

Kongsi artikel ini
Follow