Pusat Media

SKMM mantapkan fungsi Pusat Internet Komuniti

21 Sep 2020, bernama

KUALA LUMPUR, 21 Sept -- Pusat Internet Komuniti (PIK) di seluruh negara akan terus dimantapkan bagi memberi peluang kepada rakyat menikmati perkhidmatan jalur lebar berkualiti sekali gus memperbaiki taraf sosioekonomi mereka.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan inisiatif untuk PIK termasuk proses transformasi, penambahbaikan perkhidmatan dan pertambahan kandungan atau kursus, pengoptimuman penggunaan PIK serta bantuan dalam aspek pembungkusan dan pemasaran produk kepada golongan usahawan yang akan dilaksanakan tidak lama lagi.

“Melalui proses transformasi ke atas PIK, ia mampu memberi lonjakan kepada pertumbuhan ekonomi digital yang pesat berkembang di negara ini. Pada masa yang sama, proses transformasi itu juga boleh dimanfaatkan bagi memastikan PIK berdaya maju dan menjadi sebuah pusat tumpuan aktiviti ekonomi penduduk,” menurut kenyataan itu.

Justeru, suruhanjaya itu menjelaskan pelbagai inisiatif kini giat digerakkan ke arah mencapai objektif itu, antara lain pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) yang memberi keutamaan kepada projek membangunkan infrastruktur komunikasi di Sabah dari 2020 hingga 2022.

“Di bawah JENDELA, Sabah adalah penerima terbesar peruntukan iaitu sebanyak RM2.45 bilion. SKMM telah menyediakan 133 PIK untuk memberi bimbingan digital kepada rakyat di Sabah.

“Kewujudan PIK akan menjadi platform penting kepada mereka untuk memperkasakan aktiviti ekonomi untuk menambah sumber pendapatan selain memperluas jaringan produk mereka ke seluruh dunia,” menurut SKMM.

Kongsi artikel ini
Follow