Pusat Media

SKMM sasar satu DUN, satu PEDi di seluruh negara

01 Apr 2022, Melaka Hari Ini

MASJID TANAH 1 Apr – Sebanyak 1,082 Pusat Digital Ekonomi Keluarga Malaysia (PEDi) akan dibangunkan di Malaysia sekali gus memberi manfaat kira-kira 600,000 daripada 800,000 usahawan kecil seluruh negara membangunkan perniagaan mereka.

Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Datuk Dr. Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek berkata, pihaknya akan memastikan sekurang-kurangnya satu PEDi akan diwujudkan dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) seluruh negara bagi memastikan hasrat itu tercapai.

Jelasnya, setakat ini sebanyak 909 PEDi yang telah diwujudkan beroperasi di seluruh negara dan akan menambah sebanyak 173 lagi dengan jangkaan disiapkan menjelang penghujung tahun ini.

“PEDi yang disediakan bertujukan sebagai tempat aktiviti latihan untuk kita bangunkan masyarakat setempat mengguna pakai teknologi digital iaitu internet untuk mereka menjalakan aktivti perdagangan seperti menjual barangan, menjalankan perkhidmatan dalam talian dan pelbagai lagi.

“Malah ia juga dijadikan sebagai lokasi bermanfaat buat pelajar sekolah untuk menjadikan PEDi sebagai lokasi menjalankan pembelajaran mereka.

“PEDI yang ditubuhkan ini bukan hanya diseliakan SKMM bagaimanapun ia akan mendapatkan kerjasama pelbagai agensi bagi menjalankan lokasi itu sebagai pusat setempat dan bersesuaian dijadikan tempat latihan yang dijalankan sama ada dalam bentuk hibrid, fizikal mahupun secara di atas talian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Perasmian Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) Taman Bandar Baharu Masjid Tanah yang dirasmikan Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali di sini, hari ini.

Beliau berkata pelbagai manfaat yang akan diterima dalam kalangan usahawan yang mengikuti latihan dijalankan pusat itu bagi mengembangkan perniagaan ke peringkat yang lebih tinggi.

Katanya, usahawan mampu berinteraksi bersama usahawan yang lain, malah akan menerima ilmu bermanfaat daripada usahawan yang berjaya.

“Dalam PEDI ini mereka juga akan bertemu dengan pemain industri di syarikat-syarikat besar seperti Shopee, AEON, TM serta pelbagai lagi untuk membantu mereka mengembangkan perniagaan menerusi pelbagai pendedahan seperti pembungkusan, pemasaran, penjenamaan serta pelbagai lagi.

“Cuma apa yang kita sarankan kepada usahawan terlibat hendaklah mendaftarkan perniagaan mereka kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) kerana sekiranya terdapat pembiayaan yang ditawarkan kerajaan ia akan membantu mereka untuk agensi terlibat mempertimbangkan permohonan mereka,” katanya.

Kongsi artikel ini
Follow