Pusat Media

Teknologi 5G percepatkan diagnosis dalam ambulans

18 Jan 2020, bernama
LANGKAWI, 18 Jan -- Penggunaan teknologi generasi kelima (5G) dalam bidang perubatan akan membolehkan pesakit kritikal diberi rawatan dengan lebih efisien dan sewajarnya sekali gus meningkatkan peluang untuk menyelamatkan nyawa.

Ketua Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Sultanah Maliha, Langkawi Dr Roshidah Rosman berkata menerusi teknologi itu, pemindahan data pesakit dapat dilakukan secara nyata (real-time) ke hospital dari lokasi pesakit itu didiagnosis.

"Paramedik akan mendiagnosis pesakit dengan lebih cepat menggunakan elektrokardiogram (ECG) dan imbasan ultrabunyi (ultrasound) daripada dalam ambulans dan imej imbasan itu akan dipaparkan menerusi skrin yang boleh dilihat di skrin tablet atau komputer di hospital.

"Menerusi teknologi 5G, proses mendapatkan keputusan diagnosis menggunakan ECG akan menjadi lebih cepat dan jimat masa kepada hanya satu minit berbanding dua ke tiga minit (menerusi teknologi 4G atau 3G)," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Dr Roshidah berkata pasukan paramedik di dalam ambulans juga boleh berkomunikasi secara terus dengan pakar di hospital dan apabila pesakit tiba, rawatan susulan boleh terus dilakukan kerana proses diagnosis atau ‘first aid’ telah pun dibuat semasa pesakit dalam perjalanan ke hospital.

Hospital Sultanah Maliha merupakan satu daripada lokasi yang menjalani projek demonstrasi penggunaan teknologi 5G di Langkawi dengan kerjasama syarikat telekomunikasi Digi, sejak Disember lepas.

Dr Roshidah menambah, penggunaan teknologi itu juga membolehkan pasukan perubatan di hospital memantau secara langsung keadaan pesakit yang dalam perjalanan ke hospital menerusi paparan visual dan audio berdefinisi tinggi (HD) daripada kamera yang dipasang di dalam ambulans.

Berkongsi pengalamannya, Dr Roshidah berkata pasukan perubatan hospital berkenaan mendapati teknologi itu sangat praktikal terutama dalam memberi rawatan terhadap pesakit yang terkena serangan jantung.

Pasukan perubatan Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Sultanah Maliha menunjukkan demonstrasi menggunakan teknologi generasi kelima (5G) ketika merawat pesakit kritikal di dalam ambulans. Teknologi 5G membolehkan pemindahan data secara nyata (real-time) itu membolehkan paramedik untuk mendiagnosis penyakit dengan lebih cepat menggunakan elektrodiogram (ECG) dan imbasan ultrabunyi (ultrasound) dari dalam ambulans. --fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA
"Perjalanan untuk membawa pesakit itu ke hospital mungkin mengambil masa 20 ke 30 minit, namun dengan diagnosis awal dan penjimatan masa seperti ini secara tidak langsung meningkatkan peluang pesakit itu untuk hidup," jelasnya.

Selain itu, beliau berpandangan teknologi 5G juga membolehkan pasukan perubatan di hospital tertentu berkomunikasi dan mendapatkan konsultasi secara langsung dengan pakar-pakar di hospital utama mengenai rawatan dan perkara berkaitan.

Pengkomersialan teknologi 5G dijangka dilancarkan pada suku ketiga tahun ini dan ia bukan sahaja akan mentakrifkan semula ketersambungan di negara ini tetapi akan membawa kesan positif kepada ekonomi serta memartabatkan Malaysia sebagai satu daripada perintis 5G di rantau ASEAN.

Teknologi berkenaan sedang menjalani projek demonstrasi di Langkawi yang dijangka dilancarkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, malam esok.
Kongsi artikel ini
Follow