Pusat Media

Tender spektrum 5G dibuka April ini - SKMM

20 Jan 2020, bernama
LANGKAWI: Tender bagi jalur spektrum 700 MHz dan 3.5 GHz teknologi mudah alih generasi kelima (5G) akan dibuka pada April depan, demikian mengikut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Pengerusi SKMM, Al-Ishsal Ishak, berkata spektrum 700 MHz dan 3.5Ghz berkenaan akan diperuntukkan kepada satu konsortium yang terdiri daripada beberapa pemegang lesen dan bukannya kepada pemegang lesen individu.

Selain itu, bagi jalur gelombang milimeter 26/28GHz, beliau berkata, syarikat berminat boleh mula mengemukakan cadangan masing-masing juga pada April ini, katanya. “Kita akan serahkan jalur gelombang milimeter ini kepada bukan pemegang lesen (bukan syarikat telekomunikasi). 

“Sebagai contoh, kilang yang memerlukan 5G, tidak perlu memanggil syarikat telekomunikasi kerana mereka sebaliknya boleh menggunakan rangkaian gelombang milimeter tersebut,” katanya di sini hari ini.

Menurut Al-Ishsal, rangkaian gelombang milimeter juga sesuai bagi jarak penggunaan dalam lingkungan 200-300 meter yang dapat membantu industri meningkatkan produktiviti masing-masing.

“Mereka bukannya memberi perkhidmatan kepada rakyat kerana tidak mempunyai lesen (berkaitan). Bagaimanapun bagi penggunaan alat komunikasi seperti walkie-talkie, mereka perlu mendapatkan kebenaran SKMM,” katanya.

Kongsi artikel ini
Follow