Pusat Media

Tindakan tegas ke atas Telegram tidak terlalu jejaskan pengguna - KKD

03 Jun 2023, Berita RTM
KOTA KUALA MUDA, 3 Jun- Sebarang tindakan diambil terhadap TELEGRAM adalah berdasarkan syor-syor daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC)

Menteri Komunikasi dan Multimedia (KKD), Fahmi Fadzil berkata kerajaan tidak akan mengambil masa yang terlalu lama untuk membuat keputusan berhubung isu membabitkan Telegram.
 
Malah, kerajaan akan memastikan sebarang bentuk tindakan yang mungkin dikenakan ke atas Telegram tidak terlalu menjejaskan pengguna platform tersebut.
 
Menurut Fahmi, pihaknya sedang meneliti syor dan juga dapatan daripada pihak MCMC.

Ketika ini, platform berkenaan turut digunakan kumpulan-kumpulan komuniti termasuk sekolah, guru-guru dan wartawan untuk menghantar video, gambar dan sebagainya.

"Kita akan pastikan sekiranya diputuskan bahawa kerjasama di pihak Telegram tidak begitu positif, maka apa-apa tindakan yang diambil tidak terlalu menjejaskan pengguna.

"Kita beri sedikit masa jika perlu ada peralihan mencari medium platform yang baharu, kita akan maklumkan.

"Sehingga kini kami belum menerima sebarang maklum balas rasmi daripada pihak pengendali Telegram berkaitan jemputan KKD untuk berbincang dan mencari penyelesaian berhubung beberapa aduan.
 
"Kami menerima pelbagai aduan mengenai perkhidmatan disediakan platform berkenaan, yang berkaitan dengan keselamatan awam, aktiviti jualan bahan terlarang, ‘scammer’ serta pornografi dan perbincangan dengan penyedia perkhidmatan itu penting bagi mencari penyelesaian segera," katanya kepada pemberita di sini.
 
Dalam pada itu, Fahmi berkata KKD dalam proses perancangan untuk membina 186 Pusat Ekonomi Digital (PEDi) baharu bagi memastikan semua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di setiap negeri memiliki sekurang-kurangnya sebuah PEDi untuk dimanfaatkan komuniti setempat.
 
Pelaksanaan program 1 DUN 1 PEDi yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Belanjawan 2023 pada Februari lalu dijangka selesai menjelang akhir tahun ini.
 
Katanya, di Kedah, empat lagi PEDi akan ditubuhkan dalam masa terdekat.
 
Ketika ini, 77 PEDi telah dibangunkan dan beroperasi di Kedah.
Kongsi artikel ini
Follow