Pusat Media

Ujian EESAT ke seluruh negara

16 Okt 2002, Hizral Tazzif Hisham, Berita Harian
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan memperluaskan Ujian Perkhidmatan Liputan Menyeluruh (EESAT) ke seluruh negara tahun depan merangkumi talian tetap, perkhidmatan Internet dan penyiaran bagi membolehkan mutu perkhidmatan dan kemampuan sistem yang disediakan operator dipantau dan diuji keberkesanannya. Ketika ini, ujian EESAT hanya tertumpu di Lembah Klang dan membabitkan pengendali sistem rangkaian selular. Ujian berkenaan dilakukan bagi menetapkan tanda aras kualiti perkhidmatan yang disediakan operator. Pengerusi SKMM, Tan Sri Nuraizah Abdul Hamid, berkata EESAT dilaksanakan dengan tujuan menjadi penanda aras bagi Perkhidmatan Berkualiti (QOS) untuk rangkaian selular. Ini ialah sebahagian daripada penilaian bermutu yang giat dilaksanakan bagi memantau standard mutu perkhidmatan telefon selular. “Menerusi keputusan EESAT, kita boleh lihat terdapatnya pembaikan secara umumnya dalam prestasi rangkaian berbanding dengan ujian awal tahun lalu,” katanya pada sidang akhbar di Kuala Lumpur, minggu lalu Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengumumkan keputusan ujian EESAT untuk tempoh suku ketiga yang dikendalikan perunding bebas, Sector Solutions Sdn Bhd di kawasan terpilih di sekitar Lembah Klang antara 30 Ogos hingga 1 Oktober lalu. EESAT membabitkan lima operator rangkaian selular iaitu Celcom (019), DiGi (016), Maxis (012), TimeCel (017) dan TMTouch (013). Hasil ujian EESAT yang dilakukan mendapati semua operator pengendali talian selular di Lembah Klang sudah mempertingkatkan mutu perkhidmatan mereka. Ujian yang dijalankan merangkumi panggilan yang dilakukan ketika sedang bergerak dan panggilan dibuat pada kedudukan statik. Sebanyak 200 panggilan dibuat terhadap lokasi tertentu bagi menilai prestasi sistem rangkaian selular operator. Beliau berkata, secara keseluruhan keputusan ujian yang dilakukan adalah baik yang mana setiap operator telefon selular menyedari kepentingan memastikan mutu perkhidmatan sentiasa dipertingkatkan. “Langkah yang dilakukan SKMM selaras dengan standard mandatori bagi kualiti mutu perkhidmatan yang akan berkuat kuasa pada 1 Januari tahun depan. Standard berkenaan memerlukan operator telefon selular menghantar laporan prestasi kepada SKMM yang mana SKMM akan menggunakan keputusan ujian EESAT sebagai penanda aras,” katanya.
Kongsi artikel ini
Follow