Pusat Media

Aplikasi Mudah Alih Gerak Malaysia Akan Ditamatkan Perkhidmatan Pada 31 Julai 2020

30 Jul 2020
Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menjalinkan kerjasama erat bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam melaksanakan tugas mengawal dan melindungi rakyat Malaysia daripada terdedah kepada jangkitan pandemik COVID-19 sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac 2020. Salah satu kerjasama strategik yang berjaya dijalankan adalah penggunaan aplikasi Gerak Malaysia.

Gerak Malaysia dibangunkan sebagai aplikasi pengesanan dan penyimpanan rekod pergerakan yang terperinci. Selain membantu mengesan kontak rapat kes COVID-19, ia juga membolehkan PDRM menguruskan permit perjalanan rentas sempadan negeri dan memantau jumlah pergerakan dalam masa nyata. Menerusi Aplikasi Gerak Malaysia, pihak PDRM dan MCMC telah berjaya mengurus pergerakan trafik dalam tempoh PKP.

Dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sejak 10 Jun 2020, yang menyaksikan tiada lagi keperluan permit rentas sempadan negeri, PDRM dan MCMC memutuskan bahawa penggunaan aplikasi Gerak Malaysia tidak lagi diperlukan.

Sehubungan itu, aplikasi mudah alih Gerak Malaysia akan ditamatkan perkhidmatan mulai 31 Julai 2020. Pengguna dinasihatkan memadam aplikasi tersebut daripada alatan telekomunikasi masing-masing kerana ia tidak lagi mempunyai fungsi aktif selepas tarikh tersebut.

Semua data peribadi akan diserahkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan rekod pergerakan pengguna berkaitan aplikasi Gerak Malaysia yang disimpan akan turut dilupuskan. Kerjasama antara PDRM dan MCMC telah menyumbang kepada kejayaan pelbagai operasi.

Kerjasama baik ini akan diteruskan dalam menghadapi cabaran di masa hadapan demi ketenteraman rakyat dan keselamatan negara.

Bagi terus membantu pihak berkuasa mencegah dan mengawal penularan pandemik COVID-19 secara berkesan, orang ramai diseru memuat turun aplikasi MySejahtera yang dibangunkan oleh kerajaan Malaysia. Aplikasi ini secara asasnya digunakan untuk memperkasa penduduk Malaysia untuk melakukan penilaian kendiri, mendapat maklumat terkini tentang COVID-19, mengetahui kawasan-kawasan berisiko, mendaftar diri sebelum memasuki sesuatu premis dan lain-lain lagi.

PDF
Kongsi artikel ini
Follow