Pusat Media

Berita Palsu 13 Menteri Kabinet Dijangkiti COVID-19: MCMC Beri Amaran Tindakan Tegas Boleh Diambil

09 Okt 2020
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengambil maklum berhubung penyebaran berita palsu yang tular di media sosial beberapa hari lalu yang mendakwa seramai 13 Menteri Kabinet telah dijangkiti COVID-19.

Perkara tersebut telah pun dinafikan oleh Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang media hariannya selain penafian yang diterbitkan dalam portal Sebenarnya.my.

Pihak MCMC memberi amaran kepada orang awam agar tidak menyebarkan berita yang palsu dan sentiasa berwaspada dengan penyebaran maklumat atau berita yang diragui kesahihannya.

Tindakan tegas boleh diambil oleh pihak berkuasa yang terlibat iaitu Polis Diraja Malaysia dan MCMC jika terdapat perlakuan kesalahan di bawah mana-mana peruntukan undang-undang di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.

Sekiranya terdapat keraguan mengenai kesahihan sesuatu berita, layari portal Sebenarnya.my atau pautan Telegram iaitu https://t.me/sebenarnyamy. Maklumat mengenai penularan berita palsu turut boleh disalurkan melalui pautan ‘Salur kepada Kami’ iaitu https://sebenarnya.my/salur/ di portal dan aplikasi Sebenarnya.my.

PDF
Kongsi artikel ini
Follow