Pusat Media

Perkhidmatan Capaian Jalur Lebar Melalui Satelit Di 839 Lokasi Di Seluruh Negara Di Bawah Inisiatif JENDELA

15 Mac 2021
CYBERJAYA, 15 Mac 2021 --- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mengeluarkan satu pelawaan untuk kerja-kerja pemasangan dan penyediaan perkhidmatan capaian jalur lebar melalui satelit di 839 lokasi seluruh negara yang melibatkan negeri Johor, Kelantan, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Selangor, Sabah dan Sarawak.

Lokasi-lokasi berkenaan terdiri daripada kawasan penempatan Orang Asli di Semenanjung Malaysia, dan kawasan-kawasan terpencil di Sabah dan Sarawak yang mana penyediaan prasarana dan perkhidmatan jalur lebar mudah alih dan selular awam akan mengambil masa untuk dilaksanakan mengambil kira kepadatan penduduk dan keadaan bentuk muka bumi. Semenanjung Malaysia mempunyai sebanyak 178 lokasi (21%), manakala Sabah mempunyai sebanyak 138 lokasi (17%) dan Sarawak pula sebanyak 523 lokasi (62%).

Perkhidmatan ini, yang dijangka akan siap dilaksanakan menjelang Oktober 2021 akan berfungsi sebagai penyelesaian yang cepat kepada masalah kesalinghubungan sehingga penyelesaian yang kekal dilaksanakan. Para penduduk di setiap lokasi akan berpeluang menikmati perkhidmatan WiFi percuma pada purata kelajuan 35Mbps. Ini merupakan satu lagi inisiatif di bawah JENDELA untuk memperluaskan liputan ke seluruh negara dan melengkapi pengumuman terdahulu.

Semua pemegang lesen yang berminat dan berkelayakan, boleh mendaftarkan minat dan mengemukakan draf rancangan perkhidmatan sejagat seperti mana di bawah Peraturan 5, Peraturan-peraturan Komunikasi dan Multimedia (Pemberian Perkhidmatan Sejagat) 2002.


PDF
Kongsi artikel ini
Follow