Pusat Media

Capaian Internet Lemah Di Kg. Baru Batu Tiga, Selama: MCMC Ambil Tindakan Bantu Pelajar (Cont')

22 Jun 2021
CAPAIAN INTERNET LEMAH DI KG. BARU BATU TIGA, SELAMA: MCMC AMBIL TINDAKAN BANTU PELAJAR YANG TERKESAN

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) amat bersimpati atas kejadian yang menimpa seorang pelajar bernama Siti A’isyah Mohd. Idris, 17, yang dilaporkan cedera parah akibat kemalangan ketika bermotosikal ke rumah bapa saudaranya untuk mendapatkan capaian Internet yang lebih baik bagi mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Susulan itu, MCMC Negeri Perak dan wakil penyedia perkhidmatan yang terdiri daripada Celcom, Digi, Maxis dan Telekom Malaysia telah mengadakan pertemuan dengan keluarga mangsa petang semalam yang turut disertai oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Selama, YB Mohd Akmal Kamaruddin bagi mendapatkan gambaran sebenar masalah capaian yang dihadapi selain keadaan terkini adik Siti A’isyah.
 
Pengarah MCMC Negeri Perak, En. Zairulnahar Zakaria bersama-sama ADUN Selama, YB Mohd Akmal Kamaruddin (tiga dari kanan) dan wakil penyedia perkhidmatan bertemu dengan kakak mangsa, Siti Nur Zulfa bagi mendapatkan gambaran keadaan terkini pelajar yang terlibat dengan kemalangan ketika mendapatkan capaian Internet.

Sebagai langkah penyelesaian awal, MCMC mengarahkan syarikat telekomunikasi untuk melaksanakan pengoptimuman pemancar yang berhampiran bagi memastikan liputan Internet yang lebih baik di kawasan rumah mangsa tersebut selewat-lewatnya pada bulan Julai ini.

Manakala bagi penyelesaian jangka masa panjang pula, MCMC mengarahkan penyedia perkhidmatan untuk menyediakan infrastruktur komunikasi yang bersesuaian bagi memastikan liputan Internet yang lebih baik dinikmati oleh penduduk di kawasan Kampung Baru Batu Tiga tersebut. Tindakan berkenaan mendapat sokongan penuh daripada ADUN Selama.

Sehubungan itu, MCMC ingin menasihatkan semua pelajar agar berhati-hati dan tidak membahayakan diri dalam usaha untuk mendapatkan capaian Internet.

 

PDF

Kongsi artikel ini
Follow