Pusat Media

Mempertingkat Pengalaman Digital Untuk Rakyat Malaysia Menerusi Jalur Lebar Yang Berpatutan

22 Nov 2018
MEMPERTINGKAT PENGALAMAN DIGITAL UNTUK RAKYAT MALAYSIA MENERUSI JALUR LEBAR YANG BERPATUTAN SERTA KUALITI YANG LEBIH BAIK DAN PANTAS ​

LATAR BELAKANG

 
Apabila Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM) berkuat kuasa pada April 1999, ia mengandungi empat rangka kerja pengawalseliaan yang utama iaitu: ekonomi, teknikal, sosial dan perlindungan pengguna.  

Rangka kerja tersebut digubal untuk membangunkan industri komunikasi dan multimedia yang akan membawa manfaat kepada pengguna. Dalam kawal selia ekonomi sebagai contohnya, capaian kepada kemudahan dan perkhidmatan yang terhad dan sukar untuk dibina semula adalah penting untuk menggalakkan persaingan di dalam pasaran telekomunikasi. Antara contoh kemudahan dan perkhidmatan seperti itu adalah seperti rangkaian terakhir kuprum dan gentian optik.  

Apabila Kerajaan dan Telekom Malaysia (TM) telah memeterai Perjanjian Kerjasama Awam-Swasta (PPP) untuk membangunkan rangkaian jalur lebar berkelajuan tinggi pada 2008, Kerajaan telah menangguhkan pelaksanaan tiga perkhidmatan borong di dalam Senarai Capaian iaitu perkhidmatan Full Access, Line Sharing dan Sub-Loop Service untuk tempoh tujuh tahun. Ini bermakna, semasa tempoh tujuh tahun itu, TM boleh menawarkan perkhidmatan tersebut atas dasar rundingan komersial, tanpa sebarang campur tangan kawal selia daripada pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).   
  
TARIKH-TARIKH SIGNIFIKAN  

MCMC telah menyediakan rangka kerja kawal selia capaian kepada kemudahan dan perkhidmatan ini sejak tahun 2001 apabila Senarai Capaian yang pertama dikeluarkan, diikuti oleh harga maksimum yang ditetapkan untuk kemudahan-kemudahan dan perkhidmatan sejak 2003 dengan Standard Mandatori Mengenai Harga Capaian (MSAP).  Kajian terkini mengenai rangka kerja capaian dijalankan pada 2015, apabila MCMC melaksanakan kajian semula dan telah menerbitkan Penentuan Suruhanjaya Mengenai Senarai Capaian (Commission Determination on Access List).  Senarai Capaian mengawal selia kemudahan dan perkhidmatan yang seharusnya disediakan oleh penyedia perkhidmatan secara borong kepada penyedia perkhidmatan yang lain. Langkah ini adalah perlu bagi memastikan persaingan lebih berkesan yang membawa manfaat kepada pengguna dengan pilihan yang pelbagai. Pilihan di dalam perkhidmatan akan meningkatkan kualiti produk dan perkhidmatan dan seterusnya, harga yang lebih menarik. Kawal selia capaian merupakan satu proses yang dijalankan secara berterusan oleh pihak Suruhanjaya.  

Negara-negara lain seperti Australia, United Kingdom, Singapura dan New Zealand telah mengambil langkah yang lebih membebankan pihak industri seperti pemisahan struktur atau fungsi untuk rangkaian jalur lebar berkelajuan tinggi mereka bagi menggalakkan persaingan untuk kepentingan pengguna. Hingga kini, MCMC belum mempertimbangkan  pemisahan struktur mahupun fungsi memandangkan instrumen kawal selia sedia ada sudah memadai. Walau bagaimanapun, MCMC sedang memantau perkembangan di negara lain supaya pengalaman mereka boleh digunakan untuk mengawal selia rangkaian ini.  

Pada 2016, MCMC telah melaksanakan kajian semula ke atas termaterma dan syarat capaian selain daripada harga dan telah mengeluarkan Penentuan Suruhanjaya Standard Mandatori Mengenai Capaian (Commission Determination on the Mandatory Standard on Access). Langkah ini adalah untuk memastikan capaian kepada rangkaian adalah ditawarkan secara adil dan tanpa diskriminasi.  
Pada 2017, MCMC telah menjalankan kajian semula ke atas kos untuk menentukan harga capaian untuk kemudahan dan perkhidmatan yang disenaraikan dalam Senarai Capaian. Kajian ini dijalankan secara telus melalui satu Siasatan Awam seperti yang dikehendaki dalam undangundang. Semasa peringkat siasatan tersebut, para pemegang lesen dan orang awam telah diberikan peluang untuk membuat penghujahan kepada MCMC. Semua operator utama seperti Celcom Axiata Berhad (Celcom), Digi Telecommunications Sdn Bhd (Digi), Maxis Berhad (Maxis), TT dotcom Sdn Bhd (Time) dan Telekom Malaysia Berhad (TM) telah mengemukakan penghujahan yang menyeluruh kepada MCMC. Selain itu, operator-operator lain seperti U Mobile Sdn Bhd, edotco Malaysia Sdn Bhd, webe Digital Sdn Bhd dan YTL Communications Sdn Bhd turut mengemukakan penghujahan. Pihak MCMC mempertimbangkan kesemua penghujahan yang dibuat sebelum menerbitkan laporan berkenaan siasatan awam tersebut.  

MSAP telah dikeluarkan pada Disember 2017. MSAP mengawal selia harga borong untuk kemudahan dan perkhidmatan dalam Senarai Capaian, termasuk buat kali pertamanya, perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi. MSAP berkuat kuasa pada 1 Januari 2018.   
Pada Jun 2018, MSAP telah dilaksanakan sepenuhnya. Impak positif daripada MSAP adalah serta-merta. Harga borong yang lebih rendah untuk capaian kepada rangkaian jalur lebar berkelajuan tinggi telah mendorong kepada persaingan yang lebih hebat. Ini terbukti apabila harga runcit untuk perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi telah diturunkan, dengan harga pakej permulaan yang dikurangkan lebih daripada 30% dan lebih banyak pakej berkelajuan tinggi yang lebih menarik ditawarkan kepada pengguna. Sebagai contoh, seorang pengguna yang pada asalnya membayar RM149 untuk pakej 5Mbps (mega bit sesaat) kini hanya perlu membayar sebanyak RM79 untuk pakej 30Mbps. Apabila dibandingkan dengan negara-negara lain di rantau ASEAN, harga untuk pakej 30Mbps di Malaysia adalah yang termurah manakala Malaysia berada di tangga kedua selepas Thailand untuk pakej 100Mbps.  

Kelajuan perkhidmatan jalur lebar juga telah bertambah baik ekoran pelaksanaan MSAP. Satu kaji selidik yang dijalankan oleh The Speedtest Global Index pada Oktober 2018 mendapati, Malaysia naik 10 anak tangga pada bulan Oktober 2018 untuk menjadi negara ke-26 di dunia untuk kelajuan internet dengan purata kelajuan 61.97Mbps berbanding dengan purata kelajuan global iaitu 50.88Mbps. Dalam kalangan negaranegara ASEAN, melainkan Singapura, Malaysia berada di kedudukan yang tertinggi, iaitu di hadapan Thailand (33), Vietnam (62) dan Indonesia (92) daripada 130 buah negara. Situasi ini adalah jauh berbeza berbanding dengan beberapa bulan sebelum itu yang mana laporan Bank Dunia pada Februari 2018 mendapati, purata kelajuan muat turun Malaysia hanyalah 22.56Mbps.   

MELANGKAH KE HADAPAN  

Dengan peningkatan perkongsian infrastruktur, termasuk gentian optik, nilai kepada pengguna dijangka akan bertambah baik. Kemajuan Malaysia dalam pembangunan jalur lebar berkelajuan tinggi dan menjadikan akses kepada Internet sebagai utiliti tidak akan berakhir di sini. Kerajaan sedang membangunkan sebuah pelan untuk melabur dan mempertingkat infrastruktur digital negara. Langkah ini bertujuan untuk memastikan ketersediaan perkhidmatan jalur lebar yang lebih meluas, dengan menggalakkan persaingan.  

Mempertingkat infrastruktur digital adalah fokus utama untuk MCMC dan isu-isu seperti pemberian hak laluan akan terus diperbincangkan dengan kerajaan-kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan. Menangani isu-isu sedemikian dengan berkesan akan membantu dalam mengurangkan kos pelaksanaan infrastruktur dan membolehkan liputan yang lebih luas untuk jalur lebar berkelajuan tinggi. Ketersediaan Infrastruktur digital adalah faktor penting bagi memastikan manfaat ekonomi dan pertumbuhan saksama dapat dinikmati oleh semua negeri dan bukan sekadar beberapa kawasan terpilih dalam negara.  

Langkah-langkah lain yang dipertimbangkan termasuklah meliberalisasikan aktiviti-aktiviti dalam sektor-sektor strategik yang kurang kompetitif. MCMC akan menggunakan segala instrumen kawal selia sedia ada untuk memastikan ketersediaan infrastruktur bertaraf dunia di Malaysia dalam usahanya membina sebuah rangkaian komunikasi yang kukuh lagi mampan yang boleh menyumbang secara berkesan kepada pembangunan ekonomi negara. Kajian-kajian sedang dijalankan untuk memastikan penggunaan spektrum yang optimum dan perancangan 5G pada 2019. 

Dasar Kerajaan adalah kritikal dalam memastikan rakyat benar-benar menikmati manfaat hasil daripada usaha-usaha yang dilaksanakan, sama ada untuk meningkatkan infrastruktur digital ataupun mengurangkan kos penempatan dan harga kepada pengguna. Laporan The Alliance for Affordable Internet (A4AI) melaporkan, dasar-dasar aktif kerajaan Malaysia ketelusan badan kawal selia telah melonjakkan Malaysia ke tangga pertama daripada 61 buah negara. Kedudukan berkenaan mengambil kira dasar-dasar kerajaan yang menyokong peluasan akses awam, infrastruktur digital dan penggunaan telefon pintar.   
Kongsi artikel ini
Follow