Pusat Media

Siaran Akhbar: Laporan Akhir Mengenai Peruntukan Jalur-Jalur Spektrum Bagi Perkhidmatan Jalur Lebar Mudah Alih Di Malaysia

01 Jan 2020
LAPORAN AKHIR MENGENAI PERUNTUKAN JALUR-JALUR SPEKTRUM BAGI PERKHIDMATAN JALUR LEBAR MUDAH ALIH DI MALAYSIA   
 
  • MCMC mengambil pendekatan inovatif dan berpandangan ke hadapan berhubung peruntukan jalur-jalur spektrum bagi perkhidmatan jalur lebar mudah alih, dan menyediakan asas yang kritikal untuk peralihan ke arah 5G
  • Jalur spektrum 700 MHz, 3.5 GHz dan 26/28 GHz, telah dikenalpasti untuk pelaksanaan 5G di Malaysia
  • Peruntukan sedia ada jalur-jalur spektrum 2300 MHz dan 2600 MHz akan dikekalkan selari dengan persediaan untuk peralihan ke arah 5G 
 
CYBERJAYA, 1 Januari 2020 --- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah menerbitkan Laporan Akhir berhubung peruntukan jalur-jalur spektrum bagi perkhidmatan jalur lebar mudah alih di Malaysia.  
 
Laporan Akhir tersebut diterbitkan susulan daripada komitmen MCMC untuk menyatakan pendirian muktamadnya sepertimana yang terkandung di dalam Laporan Siasatan Awam mengenai peruntukan jalurjalur spektrum 700 MHz, 2300 MHz dan 2600 MHz yang disiarkan pada 29 September 2019. 
 
Pendirian yang dinyatakan di dalam Laporan Akhir tersebut dibuat setelah mempertimbangkan maklum balas yang diperolehi daripada hasil Siasatan Awam dan penilaian berhubung perkembangan semasa di seluruh dunia berkaitan pelaksanaan 5G.  
 
MCMC telah mengenal pasti jalur-jalur spektrum 700 MHz, 3.5 GHz dan 26/28 GHz sebagai jalur spektrum perintis (pioneer) untuk pelaksanaan 
5G di Malaysia, berikutan perkembangan ekosistem dan pelaksanaan 5G yang pesat di seluruh dunia. 
 
MCMC juga sedang mempertimbangkan pendekatan dimana peruntukan jalur-jalur spektrum 700 MHz dan 3.5 GHz dibuat kepada satu konsortium yang terdiri daripada beberapa pemegang lesen, dan bukannya kepada pemegang lesen individu tertentu.  Bagi tujuan ini, MCMC akan melaksanakan proses tender (beauty contest). Pendekatan ini adalah untuk mengurangkan perbelanjaan modal dengan meminimumkan kos dan mengelakkan pertindihan infrastruktur, sementara penambahbaikan rangkaian 4G masih berterusan. 
 
Memandangkan ini adalah pendekatan baru, MCMC hanya akan memperuntukkan 2x30 MHz bagi jalur spektrum 700 MHz dan 100 MHz bagi jalur spektrum 3.5 GHz. Frekuensi selebihnya akan dipertimbangkan pada peringkat seterusnya. 
 
Penguntukan bagi jalur spektrum 26/28 GHz akan dilakukan melalui dua kaedah.  Frekuensi 24.9 GHz hingga 26.5 GHz akan diperuntukkan melalui proses tender kepada pemegang lesen untuk penggunaan seluruh negara. Manakala, frekuensi 26.5 GHz hingga 28.1 GHz akan diperuntukkan secara “first-come first-served” dan dibuka kepada mana-mana pihak (termasuk bukan pemegang lesen) untuk penggunaan kawasan setempat dan/atau rangkaian persendirian. 
 
Penguntukan bagi jalur-jalur spektrum yang disebut di atas adalah dibuat melalui penguntukan radas (“Apparatus Assignment”). MCMC menjangkakan fi spektrum yang dikenakan melalui peruntukan radas adalah lebih menjimatkan dan akan menggalakkan pelaksanaan rangkaian oleh penyedia-penyedia perkhidmatan. Dengan penjimatan ini, perniagaan dan pengguna akan mendapat manfaat dan menikmati perkhidmatan yang berkualiti pada harga yang lebih berpatutan.  
 
MCMC menjangkakan pengkomersialan 5G di Malaysia akan bermula pada suku ketiga tahun 2020, apabila selesainya proses penguntukan tersebut. Ini adalah selari dengan perbincangan oleh Pasukan Petugas Khas 5G Negara yang telah ditubuhkan sejak November 2018 dan dianggotai sebanyak 114 organisasi daripada sektor swasta, kementerian dan agensi mewakili bahagian bekalan dan permintaan dalam ekosistem tersebut. 

 Peruntukan bagi pelaksanaan 4G sedia ada akan dikekalkan. Ini termasuk pengekalan peruntukan bagi jalur-jalur spektrum 2300 MHz dan 2600 MHz sehingga Disember 2021. MCMC akan melaksanakan semakan semula peruntukan di kedua-dua jalur-jalur spektrum tersebut pada tahun 2021.   
 
Layari laman web MCMC untuk maklumat lanjut mengenai Laporan Akhir peruntukan jalur-jalur spektrum bagi perkhidmatan jalur lebar mudah alih di Malaysia. 
 
https://www.mcmc.gov.my/en/spectrum/consultation/public-inquiryon-allocation-of-spectrum-bands-for 
Kongsi artikel ini
Follow