Pusat Media

Isu Akaun Palsu: MCMC Kecewa Sikap Penyedia Platform Kerana Tidak Bertidak Pantas (Cont')

24 Mei 2021
ISU AKAUN PALSU: MCMC KECEWA SIKAP PENYEDIA PLATFORM KERANA TIDAK BERTINDAK PANTAS TERHADAP LAPORAN YANG DIKEMUKAKAN

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) kecewa dengan sikap pihak penyedia platform seperti Facebook, Twitter, Instagram, WhatsApp dan Telegram kerana tidak bertindak pantas terhadap laporan yang dikemukakannya dalam menangani isu akaunakaun palsu terutamanya yang digunakan bagi tujuan penipuan.

Kelewatan tindakan berhubung perkara ini dibimbangi akan merencatkan usaha MCMC dalam melindungi pengguna media sosial daripada akaunakaun palsu terutamanya yang menyamar dan menyalahgunakan identiti individu dan entiti lain, yang seterusnya boleh menyebabkan kerugian wang ringgit kepada pengguna.

Memandangkan platform-platform sedemikian yang tidak dilesenkan kerana beroperasi di luar Malaysia, MCMC amat bergantung kepada tindakan yang dibuat oleh pihak penyedia platform. Justeru, MCMC menggesa pihak penyedia platform untuk lebih bertanggungjawab, responsif dan bertindak pantas terhadap setiap laporan yang dikemukakan oleh Suruhanjaya.

Dalam masa yang sama, pihak penyedia platform secara langsung mempunyai tanggungjawab bagi memastikan platform yang dihoskan pihak mereka adalah selamat kepada pengguna. Tindakan pantas yang diambil adalah penting dan perlu demi melindungi kepentingan serta keselamatan pengguna.

Pihak MCMC sekali lagi ingin menasihatkan pengguna supaya berwaspada, kekal selamat dan menjadi seorang pengguna bertanggungjawab yang mengamalkan penggunaan Internet berhemah. Elakkan daripada menjadi mangsa kepada akaun-akaun palsu dan menyalahgunakan rangkaian media sosial.


PDF

 

Kongsi artikel ini
Follow