Pusat Media

Kadar Penembusan Capaian Internet Keluarga B40 Telah Meningkat Untuk Sokong Pembelajaran Di Rumah

12 Nov 2020
Merujuk dakwaan yang dibuat oleh seorang ahli politik baru-baru ini kononnya langganan talian Internet dalam kalangan isi rumah B40 adalah rendah dan tidak kondusif untuk pembelajaran di rumah, pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) terpanggil untuk menjelaskan tanggapan ini berdasarkan fakta dan hasil tinjauan yang telah dibuat.

Tinjauan Pengguna Internet tahun 2020 yang dijalankan oleh MCMC menunjukkan 95.4% individu berpendapatan antara RM1,000 hingga RM3,000 mempunyai langganan Internet, sama ada sambungan talian tetap atau mudah alih. Kadar langganan bagi golongan berpendapatan kurang RM1,000 pula ialah 82.2%. Maklumat berkenaan menunjukkan penembusan capaian Internet dalam kalangan keluarga B40 pada masa ini berada pada tahap memberangsangkan.

Cabaran yang perlu diberi perhatian ialah kemampuan melanggan pakej data terutamanya bagi golongan B40 yang berpendapatan kurang RM1,000 sebulan, untuk membantu anak-anak yang bersekolah menyelesaikan tugasan di rumah ketika penutupan semua sekolah di seluruh negara akibat Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). Sebagai langkah mengatasi cabaran tersebut, semasa pembentangan Belanjawan 2021 Kerajaan telah mencadangkan peruntukan kredit telekomunikasi bernilai RM180 seorang (RM15 sebulan) atau bantuan peranti pintar sebanyak RM180 kepada golongan B40. Syarikat-syarikat telekomunikasi juga turut menyediakan nilai tambah untuk data atau rebat bernilai RM180 seorang (RM15 sebulan) tertakluk kepada terma dan syarat pakej perkhidmatan. Selain itu, syarikatsyarikat telekomunikasi juga akan meneruskan program 1GB data percuma setiap hari sehingga akhir tahun 2020 untuk mengakses laman sesawang tertentu termasuk yang berkaitan dengan pembelajaran.

Masalah liputan di bandar, pinggir bandar dan pedalaman pula sedang giat diatasi melalui projek-projek pembinaan dan menambah baik infrastruktur di bawah inisiatif Jalinan Digital Negara (JENDELA) yang dijangka selesai pada tahun 2023. Dengan terlaksananya JENDELA, ia akan memberi impak liputan 4G yang disasar merangkumi 96.9% kawasan berpenduduk daripada tahap 91.8% sekarang. Ia juga bakal meningkatkan purata kelajuan 4G kepada 30Mbps daripada 25Mbps sebelum ini. Status sasaran-sasaran JENDELA akan diumumkan setiap suku dan Laporan Suku yang pertama untuk JENDELA akan dibentangkan pada pertengahan Disember 2020.

Kemudahan mengakses Internet dalam kalangan komuniti di bandar, pinggir bandar serta juga di luar bandar, terutama untuk pelajar sekolah, turut dimantapkan melalui perkhidmatan 873 Pusat Internet Komuniti (PIK) yang sedang diuruskan oleh MCMC di seluruh negara.

Data-data yang dikemukakan ini adalah terkini dan merupakan maklumat tambahan kepada rumusan tinjauan yang dikumpul oleh Jabatan Statistik Malaysia (DOSM) pada tahun 2016 dan yang terbaharu pada 2019. Tinjauan tersebut dilakukan secara berkala. Statistik langganan Internet dan pemilikan peranti dilaporkan secara tahunan oleh MCMC dan agensi-agensi lain yang berkenaan.

PDF
Kongsi artikel ini
Follow