Pusat Media

Kenyataan Media: Operasi Serbuan Diteruskan, Seorang Lagi Ditahan Sebar Berita Palsu Wabak (Con't)

30 Jan 2020
CYBERJAYA  
30 Januari 2020 
 
OPERASI SERBUAN DITERUSKAN, SEORANG LAGI DITAHAN SEBAR BERITA PALSU WABAK NOVEL CORONAVIRUS (2019-nCov) 
 
Operasi serbuan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) berterusan buat hari ketiga, dengan seorang lagi individu yang disyaki menyebarkan kandungan berita palsu mengenai penularan wabak Novel Coronavirus (2019-nCov) telah ditahan bagi membantu siasatan.  
 
Suspek wanita yang berumur 28 tahun adalah seorang kerani bank dan beliau telah ditahan di Kuantan, Pahang sekitar jam 4:00 petang tadi bagi membantu siasatan berhubung kandungan berita palsu yang dimuat naik di laman Facebook pada 27 Januari 2020. Turut dirampas adalah telefon bimbit dan kad sim milik suspek yang dipercayai digunakan untuk memuat naik kandungan tersebut di laman Facebook. 
 
Suspek disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya, dan juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan. 
 
Sejak 28 Januari 2020, MCMC dan PDRM telah menahan seramai enam (6) suspek yang dipercayai telah menyebarkan kandungan palsu mengenai Novel Coronavirus (2019-nCov). Tindakan ini akan berterusan untuk memastikan penularan berita palsu dapat dikawal dan seterusnya menjamin keamanan dan kesejahteraan rakyat Malaysia.  

PDF 
Kongsi artikel ini
Follow