Pusat Media

Kenyataan Media: Rujuk Sumber Sahih Mengenai Penularan Wabak COVID-19

03 Mac 2020
CYBERJAYA
3 Mac 2020
 
RUJUK SUMBER SAHIH MENGENAI PENULARAN WABAK COVID-19
 
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memberi amaran kepada mana-mana pihak supaya tidak menyebarkan berita palsu berkaitan penularan COVID-19 yang boleh menimbulkan suasana panik dan tidak tenteram di kalangan masyarakat.
 
Sila rujuk kepada sumber rasmi dari Kementerian Kesihatan Malaysia - http://www.moh.gov.my/index.php/pages/view/2019-ncov-wuhan atau World Health Organisation - https://www.who.int/emergencies/diseases/novel-coronavirus-2019 bagi mendapatkan maklumat yang tepat dan sahih mengenai COVID-19.
 
MCMC juga meminta orang ramai melayari portal Sebenarnya.my untuk mengenalpasti kesahihan sesuatu berita. Selain itu, berita mengenai COVID-19 yang tidak dipastikan kesahihannya boleh disalurkan melalui pautan ‘Salur kepada Kami’ iaitu  https://sebenarnya.my/salur/ di portal dan aplikasi Sebenarnya.my untuk dimajukan dan disemak oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Aplikasi mudah alih Sebenarnya.my ini boleh dimuat turun melalui platform Google Play Store dan Apple App Store.
 
Penciptaan atau penyebaran berita dan kandungan palsu adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.
 
-Tamat-


PDF
Kongsi artikel ini
Follow