Pusat Media

Klik Dengan Bijak (KDB) Mendapat Pengiktirafan Antarabangsa Bagi Advokasi Literasi Digital

10 Sep 2020
Penggunaan Internet telah menjadi norma yang dipraktikkan oleh setiap peringkat umur bagi menambah pengetahuan, berkomunikasi dan berurusan menggunakan perkhidmatan dalam talian. Namun, terdapat bahaya dalam penggunaan Internet jika kurang berwaspada. Oleh itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah melancarkan inisiatif Klik Dengan Bijak (KDB) sejak 2012 untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan rakyat Malaysia agar menggunakan Internet secara bijak.

Terkini, KDB telah dinobatkan sebagai juara projek bagi Kategori 17: Ethical Dimensions of the Information Society oleh World Summit on  the Information Society (WSIS) – WSIS Prizes 2020 anjuran Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) di Geneva, baru-baru ini.

Kejayaan tersebut merupakan satu pengiktirafan besar kepada Malaysia, dan khususnya MCMC dalam usaha pihak Suruhanjaya membudayakan penggunaan Internet beretika di Malaysia.

Menitikberatkan prinsip-prinsip Rukun Negara, memperkaya literasi digital rakyat
Sejak diperkenalkan lapan (8) tahun lalu, KDB menumpukan pelaksanaannya terhadap tiga (3) aspek utama iaitu Keselamatan,
Kewaspadaan dan Tanggungjawab yang mana ia memberi penekanan kepada kawalan kendiri sebagai perlindungan daripada ancaman dalam talian. Pelbagai pihak berkepentingan berganding bahu menjayakan inisiatif KDB termasuk ibu bapa, penjaga, pendidik, komuniti setempat, agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan, serta pertubuhan antarabangsa.

KDB bertujuan melahirkan pengguna yang celik terhadap teknologi dan kandungan media baru, mewujudkan sikap bertanggungjawab dalam kalangan pengguna Internet agar beretika dan prihatin sesama pengguna, menyedarkan pengguna Internet tentang kepentingan kawal selia kendiri dan mewujudkan persekitaran yang selamat semasa melayari Internet.

Sehingga kini, KDB telah berjaya memberi manfaat melalui aktiviti kesedaran dan pendidikan kepada para pengguna bagi membolehkan mereka mengelakkan diri daripada menjadi mangsa ancaman dalam talian oleh pihak yang tidak bertanggungjawab seperti buli siber, penipuan dalam talian, pengantunan seksual kanak-kanak, penggodaman dan penyebaran maklumat palsu.

Usaha KDB dalam mewujudkan tahap literasi digital yang lebih baik telah memperkasakan pengguna untuk melaksanakan urusan mereka dengan lebih efisien serta mempersiapkan diri menghadapi gelombang teknologi digital yang semakin canggih.

Pelaksanaan KDB turut memberi impak positif kepada usaha Kerajaan dalam memupuk nilai-nilai murni berpandukan kepada prinsip-prinsip Rukun Negara. Pengiktirafan oleh WSIS terhadap inisiatif KDB sungguh bermakna kepada rakyat Malaysia dan menyuntik semangat kepada MCMC serta rakan-rakan strategik yang berkaitan untuk terus mendidik rakyat Malaysia menjadi warga digital yang cemerlang dan berhemah tinggi.

PDF
Kongsi artikel ini
Follow