Pusat Media

Masyarakat Siam Kampung Watt Paya Mat Inson Bakal Nikmati Naik Taraf Jalur Lebar Mudah Alih

10 Dis 2020
MASYARAKAT SIAM KAMPUNG WATT PAYA MAT INSON BAKAL NIKMATI NAIK TARAF JALUR LEBAR MUDAH ALIH

Masalah kesesakan talian dan kekurangan kapasiti yang menjejaskan kelajuan data mudah alih di Kampung Watt Paya Mat Inson, Pendang, Kedah, bakal diatasi dalam tempoh beberapa bulan lagi. Penduduk yang terdiri daripada masyarakat Siam, sebelum ini mengadu proses pembelajaran anak-anak menggunakan saluran dalam talian tidak dapat dilakukan kerana faktor kelajuan jalur lebar yang tidak memuaskan.

Dalam sesi dialog antara penduduk bersama Exco Penerangan, Komunikasi dan Multimedia, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal-Ehwal Pengguna Kedah, YB Wan Romani Wan Salim dan Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia pada 9 Disember 2020, pihak Suruhanjaya akan berusaha untuk mempercepatkan pelaksanaan naik taraf liputan 3G sedia ada di kampung tersebut kepada 4G, termasuk di kampung sekitar seperti Kampung Baloh dan Kampung Huma. Kerja naik taraf peralatan di menara yang terdapat di kampung itu yang memang telah ada dalam perancangan kini akan cuba diselesaikan pada bulan Februari 2021.
 

PENGERUSI MCMC (berdiri) berdialog dengan masyarakat Siam Kampung Watt Paya Mat Inson di Pendang, Kedah mengenai masalah capaian Internet yang dihadapi oleh penduduk setempat di sana. Turut hadir ialah Exco Penerangan, Komunikasi dan Multimedia, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal-Ehwal Pengguna Kedah, YB Wan Rosmani Wan Salim (dua dari kanan).

Penilaian lanjut akan turut dibuat bagi memastikan kelompongan liputan di kawasan sekitar kampung berkenaan dapat diperbaiki. Dengan terlaksananya penaiktarafan ini kelak, penduduk akan dapat menikmati liputan perkhidmatan 4G yang mampu memberikan pengalaman jalur lebar yang lebih baik, terutamanya ketika anak-anak mereka mengikuti pembelajaran secara dalam talian.

Inisiatif Jalinan Digital Negara (JENDELA) yang sedang dilaksanakan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bersama syarikat-syarikat telekomunikasi menetapkan sasaran meluaskan liputan 4G kepada 96.9% kawasan berpenduduk menjelang akhir 2022. Purata kelajuan Internet mudah alih juga akan ditingkatkan kepada 35Mbps.

PDF
Kongsi artikel ini
Follow