Pusat Media

MCMC Ambil Pendekatan Responsif Tangani Isu Kesalinghubungan Di Seluruh Negara

12 Nov 2020
Merujuk kepada beberapa kenyataan mutakhir yang dikeluarkan oleh pihak-pihak tertentu mengenai masalah Internet di Sabah dan Sarawak serta kawasan luar bandar di Semenanjung Malaysia, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) ingin memaklumkan, pihaknya dalam beberapa bulan yang lalu ini telah mengambil pendekatan responsif dalam menangani isu kesalinghubungan di seluruh negara bagi memastikan bukan sahaja kesejahteraan penduduk adalah terjamin bahkan membantu merapatkan jurang digital antara sesebuah kawasan.

Sehubungan itu, isu kesalinghubungan yang berlaku di beberapa lokasi seperti Kampung Sapatalang dan Mengkapon di Pitas; daerah Kiulu di Tuaran, Sabah dan Kampung Kongsi 14, di Bukit Selambau, Kedah telah diberi perhatian serius dan disusuli dengan tindakan oleh MCMC.

Antaranya, MCMC telah mengarahkan penyedia perkhidmatan untuk menaik taraf rangkaian Internet di pusat internet komuniti berhampiran dengan Kampung Sapatalang kepada sambungan gentian optik selaju 300 megabit sesaat (Mbps) sekaligus memberi manfaat kepada komuniti setempat termasuk pelajar universiti, Veveonah Mosibin. Ini juga dilakukan dengan menaik taraf liputan kepada 4G dari 3G. Sebanyak 13 menara baharu akan didirikan di Pitas dan Kampung Mengkapon telah dikenal pasti sebagai salah satu lokasi untuk pembinaan sebuah menara telekomunikasi di bawah Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) 1 dan ketika ini sedang menunggu kelulusan pihak Kerajaan Negeri.

Sementara di Kiulu, tindakan memperluaskan liputan 4G sedang dilaksanakan di enam (6) lokasi utama iaitu di Pukak, Lokub, Mantob, Kitapol, Kampung Sinorut dan Kampung Gonipis beserta dengan gentian optik ke setiap menara. Usaha ini berjaya direalisasikan hasil kerjasama yang diberikan oleh Ahli Parlimen Tuaran, Yang Berhormat Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau.

Di Kampung Kongsi 14, Bukit Selambau sebuah menara pemancar sementara didirikan bagi memberi liputan yang lebih baik di kawasan berkenaan. Usaha ini dicapai hasil kerjasama antara pihak MCMC, penyedia perkhidmatan, para penduduk serta Exco Penerangan, Komunikasi dan Multimedia Negeri Kedah, Yang Berhormat Wan Romani Wan Salim.

Selain usaha tadi, usaha proaktif dengan penganjuran Sesi Makmal Infrastruktur Digital Negara (Makmal) yang berlangsung dari 13 Julai sehingga 14 Ogos lalu bermatlamat untuk mempertingkatkan tahap kesalinghubungan, kualiti pengalaman dan liputan Internet di seluruh negara. Selain itu, ia juga bertindak sebagai platform untuk menghasilkan rangka kerja komprehensif bagi pembangunan infrastruktur digital negara untuk memenuhi keperluan mendesak dalam era norma baharu. Hasil daripada sesi makmal itu, Pelan Jalinan Digital Negara atau JENDELA akhirnya telah dibangunkan.

Pelaksanaan JENDELA sedang dipantau rapi oleh Jawatankuasa Pelaksanaan JENDELA yang bermesyuarat setiap dua minggu dan kepada Jawatankuasa Pemandu JENDELA yang dipengerusikan Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, YB Dato' Saifuddin Abdullah setiap dua (2) bulan. Perkara tersebut juga dilaporkan dan diangkat kepada Mesyuarat Majlis Ekonomi Digital dan 4IR Negara yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri. Mesyuarat Pasca Kabinet KKMM yang berlangsung setiap minggu juga turut memantau pelaksanaan JENDELA.

Untuk mempercepatkan kelulusan di peringkat negeri, MCMC telah menjalankan pelbagai sesi libat urus bersama Menteri Besar dan Ketua Menteri serta dengan pihak berkepentingan seperti pegawai-pegawai dari agensi-agensi Kerajaan seperti Jabatan Penerangan (JaPen), sesi Media 101: Bengkel Maya JENDELA dan siri temu ramah di media massa oleh pegawai MCMC mengenai JENDELA untuk memberi pemahaman tentang JENDELA.

Untuk sasaran tahun 2020 ini, sebanyak 352,101 premis akan diliputi dengan rangkaian Gigabit. Setakat 31 Oktober, sebanyak 96.4% sasaran telah berjaya dilaksanakan. Manakala sebanyak 83.2% alat pemancar sedia ada yang disasarkan pada 2020 telah dinaik taraf untuk meluaskan dan mempertingkat kualiti perkhidmatan 4G. Status sasaran-sasaran lain akan dibentangkan dalam Laporan Suku Pertama JENDELA pada pertengahan Disember ini.

MCMC sedar akan keperluan rakyat untuk mempunyai rangkaian Internet yang stabil dan keadaan tersebut bertambah signifikan susulan penularan pandemik COVID-19. Justeru, pihak MCMC bersedia menerima cadangan-cadangan membina yang boleh dimanfaatkan untuk mempertingkatkan kualiti pengalaman terbaik kepada pengguna selaras dengan matlamat Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dan Belanjawan 2021. Pihak MCMC juga bersedia memberi taklimat kepada mana-mana pihak yang ingin mengetahui dengan lebih mendalam tentang JENDELA serta status pelaksanaannya.

PDF
Kongsi artikel ini
Follow