Pusat Media

MCMC Tangkas Menangani Penyalahgunaan Media Sosial Yang Menggugat Keharmonian Antara Kaum Dan Agama

03 Mac 2019

CYBERJAYA, 3 March 2019 --Internet dan media sosial pada masa ini kian menjadi wadah pilihan pengguna untuk berkomunikasi dan menyuarakan pandangan mengenai pelbagai isu semasa. Namun demikian, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menyedari bahawa terdapat segelintir yang bertindak untuk menyebar agenda-agenda yang boleh memecahbelahkan perpaduan di antara kaum serta mengganggu-gugat ketenteraman awam lantas menjurus kepada polemik perkauman dan keagamaan.

Dalam hal ini, MCMC, khususnya melalui kerjasama erat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), tidak akan berkompromi dan sentiasa komited untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang menggugat keselamatan, kestabilan dan keharmonian dalam negara.

Antara tahun 2018 sehingga Februari 2019, sejumlah 47 kertas siasatan telah dibuka oleh pihak MCMC dengan 5 daripadanya telah dijatuhkan hukuman. Dalam tempoh yang sama, sejumlah 2,358 proses bantuan teknikal dan pengenalpastian maklumat bagi membantu proses siasatan agensi penguatkuasaan, telah dilaksanakan oleh pihak MCMC.

Selain itu, sebanyak 3,407 akaun media sosial palsu termasuk yang disalahgunakan untuk penyebaran mesej-mesej bersifat ekstrimis,  kebencian dan fitnah, serta 1163 kandungan berunsur sama, telah disusuli dengan tindakan pemadaman dengan kerjasama pihak pengendali platform media sosial antarabangsa. Dalam tempoh yang sama juga, pihak MCMC turut membantu di dalam mewarkan-warkan maklumat bagi menangani 979 berita palsu yang tular di media sosial dan internet; melalui inisiatif portal sebenarnya.my yang dikendalikan pihak MCMC.

Usaha-usaha yang dijalankan pihak MCMC ini akan terus dipertingkatkan, bagi memastikan sebarang anasir yang boleh menggugat kesejahteraan masyarakat dan negara dapat dikawal dan dibendung sepenuhnya. Ini termasuklah mempergiatkan aktiviti mendidik masyarakat melalui program-program advokasi Klik Dengan Bijak untuk memupuk pembudayaan penggunaan internet secara positif dan berhemah.

Pada masa yang sama, peruntukan sedia ada iaitu Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memberikan punca kuasa penguatkuasaan media sosial dan internet kepada pihak MCMC, sedang dikaji dan diperkemaskan, untuk memastikan skop dan penggunaannya tidak memberi ruang untuk disalahgunakan.

Tamat

Kongsi artikel ini
Follow