Pusat Media

MCMC Giat Bantu Kerajaan Pertingkat Promosi Vaksinasi

25 Jun 2021
Pada ketika negara sedang berusaha untuk mengatasi pandemik COVID19, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) turut tampil untuk bekerjasama dengan pelbagai pihak dalam usaha meningkatkan tahap kesedaran dan menggalakkan orang ramai untuk mendaftar mendapatkan vaksin COVID-19 menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Kerjasama yang dijalinkan dengan Bahagian Komunikasi Strategik (BKS) Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) selaku pusat tumpuan utama umpamanya membolehkan bahan-bahan serta pesanan penting oleh Kerajaan disampaikan kepada pihak penyiaran TV dan radio swasta.

Selain itu, MCMC turut bekerjasama dengan pihak lain seperti Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan 14 penyedia perkhidmatan telekomunikasi (ALTEL, Celcom, Digi, Maxis, Merchantrade, Pavocomms, Redtone, Telekom Malaysia, TIME, Tune Talk, U Mobile, Webe, XOX dan YTL) dalam menyampaikan mesej-mesej kesedaran berkaitan vaksinasi menerusi Sistem Pesanan Ringkas (SMS) dan platform media sosial secara meluas ke seluruh negara.

Sepanjang tempoh antara bulan Mac sehingga Mei 2021, sebanyak 71,871 Pesanan Khidmat Awam (PKA)/hebahan telah disiarkan oleh pihak penyiaran TV dan radio swasta kepada orang awam. Hebahan-hebahan tersebut turut disiarkan oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan BERNAMA. Sementara itu, sebanyak 21 jenis hebahan yang berkaitan dengan vaksinasi telah dihantar kepada 44 juta pelanggan perkhidmatan syarikat telekomunikasi melalui SMS.

Selain menggunakan hebahan melalui kaedah PKA dan SMS, sebanyak 873 Pusat Internet Komuniti (PIK) seluruh negara turut digerakkan untuk membantu orang awam terutamanya warga emas yang menghadapi kesukaran mendaftar sebagai penerima vaksin COVID-19 melalui aplikasi My Sejahtera serta tidak mempunyai liputan Internet yang memuaskan di kawasan masing-masing. Setakat 20 Jun 2021, jumlah individu yang telah mendapatkan khidmat bantuan bagi pendaftaran vaksin di PIK seluruh negara adalah sebanyak 15,327 orang.

Inisiatif-inisiatif yang dilaksanakan oleh MCMC secara berterusan ini dilihat telah memberi impak positif kepada rakyat Malaysia dalam menyebarkan mesej pendaftaran dan kepentingan mendapatkan vaksin. Untuk itu, MCMC akan berterusan mengadakan kerjasama strategik dengan pelbagai pihak bagi menggerakkan PICK menerusi hebahan media massa bagi memupuk kesedaran orang ramai tentang kepentingan vaksin.


PDF
 
Kongsi artikel ini
Follow