Pusat Media

MCMC Menafikan Tuduhan YB Syed Saddiq

23 Mei 2021
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menafikan tuduhan Ahli Parlimen Muar, YB Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berhubung “arahan” kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk merampas telefon mudah alih milik beliau.

MCMC, selaku agensi teknikal dalam membantu siasatan pihak PDRM tidak mengeluarkan sebarang arahan untuk merampas bahan bukti yang diperlukan PDRM untuk melengkapkan siasatan mereka. Sebaliknya, MCMC akan terus mengemukakan bantuan dan syor teknikal, sesuai dengan keperluan siasatan, secara telus tanpa sebarang agenda terlindung termasuk agenda politik.

Dalam pada itu, MCMC juga menafikan wujudnya “unit khas” dalam MCMC untuk tujuan politik, gangguan politik (political intrusion), kempen sabotaj dan lain-lain, seperti mana yang didakwa oleh YB Syed Saddiq dalam kenyataan beliau.

Untuk makluman, MCMC berperanan untuk mengawal selia peraturan industri berdasarkan kuasa yang termaktub di dalam Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (ASKMM) 1998 dan Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 serta susunan organisasi MCMC dibentuk dan disusun sesuai dengan peranan kawal selia yang dilaksanakan oleh MCMC.

Dalam hal ini, pihak MCMC ingin menjemput YB Syed Saddiq untuk hadir ke MCMC yang mana Suruhanjaya bersedia untuk memberikan penerangan penuh mengenai peranan dan carta organisasinya yang juga boleh didapati di laman sesawang rasmi MCMC.

PDF
Kongsi artikel ini
Follow