Pusat Media

Siaran Akhbar: Rangka Kerja ID Digital Nasional Yang Selamat, Terjamin Dan Terlindung Untuk Malaysia Sedang Diusahakan

06 Jan 2020
RANGKA KERJA ID DIGITAL NASIONAL YANG SELAMAT, TERJAMIN DAN TERLINDUNG UNTUK MALAYSIA SEDANG DIUSAHAKAN 
 
  • Kajian komprehensif mengenai Identiti Digital Nasional yang berpaksikan pengguna telahpun bermula pada 21 November 2019  
  • Pasukan Petugas Kajian Identiti Digital Nasional yang dipengerusikan bersama oleh Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia dan Pengerusi MCMC, akan menyelia perkembangan kajian tersebut 
 
CYBERJAYA, 6 Januari 2020 --- Kajian komprehensif bagi memperkenalkan satu rangka kerja Identiti (ID) Digital Nasional yang berpaksikan pengguna untuk rakyat Malaysia telahpun bermula pada 21 November 2019. 
 
Pasukan Petugas Kajian ID Digital Nasional yang dipengerusikan bersama oleh Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Dato’ Suriani Dato’ Ahmad dan Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Al-Ishsal Ishak, akan menyelia kajian berkenaan yang akan berjalan selama 30 minggu bagi mengesyorkan model pelaksanaan ID Digital untuk Malaysia.  
 
“Kami sedang mengambil pendekatan konsultatif dan kolaboratif terhadap kajian tersebut, dengan mengadakan kerjasama dengan pihak berkepentingan yang berkaitan dalam mendapatkan pandangan mereka tentang kemungkinan kes-kes kegunaan bagi platform ID Digital Nasional. Ini mustahak untuk memastikan kepentingan pengguna menjadi keutamaan dalam merangka sebuah rangka kerja untuk rakyat Malaysia,” kata Al-Ishsal. 
 
Fokus utama kajian tersebut termasuklah analisis unsur tempatan, strategi pelaksanaan, sasaran model operasi, analisis kos, model ekonomi, teknologi dan pembolehdaya dasar dan aspek undang-undang. 
Saranan Pasukan Petugas akan turut mengambil kira aspek-aspek seperti program-program ID Digital sedia ada di samping memanfaatkan kekuatan dan peluang, rangka kerja perundangan sedia ada, keselamatan, privasi dan etika. 
 
“Pada masa kini, oleh sebab teknologi membentuk komponen penting dalam kehidupan kita, keperluan untuk platform ID Digital Nasional yang selamat, terjamin dan terlindung adalah mustahak dan menjadi satu cadangan yang menarik. ID Digital Nasional ini bertindak sebagai bukti kelayakan digital yang boleh dipercayai dan berperanan sebagai platform untuk pengesahan yang dapat meningkatkan kemudahan kepada pengguna dan penyertaan rakyat, menggalakkan keterangkuman, mengurangkan kos capaian kepada perkhidmatan dan menambahbaik penyampaian perkhidmatan yang berkaitan dengan transaksi secara dalam talian. Kami menjangka laporan akhir kajian ini akan siap pada 30 Jun 2020 dan saranan akan dikemukakan kepada Jemaah Menteri untuk tindakan selanjutnya,” kata Al-Ishsal. 
 
Menteri Komunikasi dan Multimedia, YB Gobind Singh Deo telah mengilhamkan idea untuk mewujudkan ID Digital Nasional pada Oktober 2018. Susulan itu, persetujuan Jemaah Menteri telahpun dicapai pada 8 Mei 2019 untuk memulakan kajian komprehensif mengenai rangka kerja ID Digital Nasional. Mandat itu, kemudiannya, telah diberikan kepada MCMC supaya mengesyorkan model pelaksanaan dengan langkahlangkah selanjutnya untuk pelaksanaan ID Digital Nasional. 
 
ID Digital Nasional adalah usaha pihak Kerajaan untuk membolehkan rakyat Malaysia bersedia menerima kebangkitan teknologi digital. Ia akan menjadi satu kaedah yang canggih untuk mengesahkan identiti seseorang pengguna dalam talian secara selamat, terjamin dan terlindung. Namun, ia bukanlah pengganti kepada Kad Pengenalan Pendaftaran Nasional (NRIC), mahupun diwajibkan untuk semua. 
 
Untuk pemahaman yang lebih menyeluruh mengenai ID Digital Nasional, sila layari video pada pautan berikut: https://www.youtube.com/watch?v=rLWitDJ8IF0 
 
PDF


 PDF

Kongsi artikel ini
Follow