Pusat Media

Kenyataan Media: Empat Lagi Individu Ditahan Akibat Menyebar Berita Palsu Wabak Novel (Con't)

29 Jan 2020
CYBERJAYA  
29 Januari 2020 
 
EMPAT LAGI INDIVIDU DITAHAN AKIBAT MENYEBAR BERITA PALSU WABAK NOVEL CORONAVIRUS (2019-nCov) 
 
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan empat (4) lagi individu yang disyaki menyebarkan kandungan berita palsu mengenai penularan wabak Novel Coronavirus (2019-nCov). 
 
Keempat-empat operasi serbuan itu telah dijalankan secara berasingan oleh PDRM dan MCMC, iaitu dua (2) di Melaka, dan satu (1) di Kedah dan Pahang. Dalam operasi yang dijalankan di antara jam 11:00 pagi hingga 5:00 petang hari ini, PDRM dan MCMC telah menahan suspek-suspek terlibat untuk merakam keterangan mereka.   
 
Di Alor Setar, seorang tutor sambilan berumur 49 tahun telah ditahan pada jam 12:00 tengah hari kerana disyaki telah memuat naik kandungan palsu wabak Novel Coronavirus (2019-nCov) di laman Facebook, pada 25 Januari 2020. 
 
Dua pembantu farmasi yang berumur 25 dan 30 tahun, masing-masing ditahan di Peringgit dan Merlimau, Melaka sekitar jam 4:00 petang bagi membantu siasatan berhubung kandungan palsu wabak Novel Coronavirus (2019-nCov) yang dimuatnaik di laman Facebook, pada 26 Januari 2020. 
 
Sementara itu, seorang pelajar di sebuah institusi pengajian tinggi awam yang berumur 24 tahun pula ditahan pada jam 4:15 petang bertempat di Kuantan, Pahang kerana disyaki telah berkongsi kandungan palsu wabak Novel Coronavirus (2019-nCov) di laman Twitter, pada 27 Januari 2020. 
 
Sebanyak empat (4) unit telefon pintar, lima (5) kad sim dan dua (2) kad memori yang dipercayai digunakan untuk memuatnaik kandungan palsu berkaitan wabak Novel coronavirus (2019-nCov) di media sosial turut dirampas daripada keempat-empat suspek di dalam operasi serbuan itu. 
 
Kesemua suspek disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau keduaduanya, dan juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan. 
 
MCMC bersama-sama PDRM akan terus mempergiatkan lagi usaha penguatkuasaan dalam mengawal penyebaran berita palsu demi memelihara keamanan dan ketenteraman awam. 
 
PDF
 
Kongsi artikel ini
Follow