Pusat Media

Siaran Akhbar: Integrasi Platform Digital Dan Pakej Prihatin Pos Dan Kurier Rangsang Aktiviti (Con't)

16 Apr 2020
  • Platform digital pos dan kurier membolehkan peniaga membuat bayaran dan mencetak sendiri borang pengesahan penghantaran di rumah, selain boleh diintegrasi dengan kedai dalam talian atau media sosial untuk meningkatkan kepercayaan pembeli.
  • Pakej PRIHATIN Pos dan Kurier serendah RM5 untuk bungkusan tidak lebih 1 kilogram bagi penghantaran dalam Semenanjung, dalam Sabah dan dalam Sarawak ditawarkan selama enam (6) bulan bermula semalam.
 
CYBERJAYA, 16 April 2020 --- Usahawan mikro industri kecil dan sederhana (IKS) menjadi antara golongan yang paling terjejas berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikenakan sejak 18 Mac. Kebebasan pergerakan yang dihadkan menyebabkan pengguna sukar datang ke premis perniagaan, manakala perniagaan yang dianggap tidak perlu terpaksa ditutup. Prihatin dengan keadaan ini, syarikat pos dan kurier berusaha menghubungkan pengguna dan peniaga IKS dengan menyediakan platform digital yang memudahkan urusan penghantaran bungkusan dan menawarkan harga serendah RM5, tidak termasuk cukai, untuk penghantaran bungkusan tidak lebih 1 kilogram di dalam Semenanjung, dalam Sabah dan dalam Sarawak.

Sasaran utama pakej rangsangan PRIHATIN yang ditawarkan selama enam (6) bulan bermula 15 April sehingga 15 Oktober 2020, ialah mengurangkan beban dan meningkatkan kecekapan usahawan IKS di samping menggalakkan lebih banyak penyertaan peniaga dalam segmen dagangan sosial, iaitu golongan peniaga yang menggunakan media sosial sebagai saluran utama pemasaran kepada pelanggan. Untuk layak mendapat caj RM5, peniaga dikehendaki membuat pendaftaran sebagai pelanggan digital di platform dalam talian syarikat kurier berkenaan. Melalui penggunaan platform digital, peniaga tidak perlu hadir ke pusat penghantaran kerana semua urusan termasuk pembayaran dan cetakan borang pengesahan arahan kurier boleh dilakukan sendiri di rumah.

Empat (4) syarikat yang telah bersetuju melaksanakan pakej ini ialah Pos Malaysia Berhad, GD Express Sdn. Bhd., Skynet Worldwide (M) Sdn. Bhd. dan J&T Express Sdn. Bhd. Syarikat lain dijangka akan turut serta menawarkan pakej ini dalam tempoh terdekat. Usahawan diminta merujuk syarat dan terma perkhidmatan yang disediakan oleh syarikat-syarikat tersebut.
Selain membolehkan usahawan menguruskan transaksi dan penghantaran barangan mereka secara lebih cekap dan menjimatkan, penggunaan platform digital syarikat pos dan kurier menggalakkan urusan tanpa kontak bagi mencegah risiko jangkitan penyakit seperti COVID-19. Perkhidmatan digital ini juga mampu dintegrasikan bersama kedai dalam talian dan media sosial milik peniaga, sekaligus menambah aspek kepercayaan pembeli dalam talian. Penjimatan masa untuk menguruskan serahan membolehkan peniaga memberi lebih banyak fokus kepada aktiviti lain seperti pengeluaran produk, penyelidikan serta pelan pemasaran yang dapat memajukan lagi perniagaan mereka.

Pakej rangsangan ini diharap dapat menggalakkan lebih ramai usahawan IKS tempatan, terutamanya industri kampung di luar bandar, menceburkan diri dengan perniagaan dalam talian bagi menambah sumber pendapatan dan menyemarakkan lagi pertumbuhan ekonomi digital. Perolehan e-dagang di negara ini dianggarkan sekitar RM18.8 bilion dan dijangka meningkat kepada RM26 bilion pada 2024.
Sentimen rakyat semasa dan selepas PKP yang didorong oleh kebimbangan terhadap risiko jangkitan wabak COVID-19 dan pertambahan pendedahan terhadap e-dagang secara umum dijangka akan turut memberi impak positif kepada pertumbuhan ekonomi digital dan membuka lebih banyak peluang kepada peniaga dalam talian.
 
-Tamat-

PDF
Kongsi artikel ini
Follow