Inisiatif PPS


Pelbagai projek pembangunan infrastruktur komunikasi telah dan sedang dilaksanakan di seluruh negara terutamanya di kawasan luar bandar bagi memastikan penyediaan capaian komunikasi berkekalan sekaligus dapat membantu dalam penambahbaikan kualiti perkhidmatan komunikasi kepada rakyat.

Inisiatif-inisiatif di bawah program PPS dilaksanakan secara holistik melalui empat (4) teras utama iaitu:
 
1. PELUASAN LIPUTAN JALUR LEBAR MUDAH ALIH
  • MENARA KOMUNIKASI BAHARU
Bagi memperluaskan liputan jalur lebar mudah alih, menara komunikasi baharu mula dibina sejak tahun 2009 di kawasan yang tiada liputan perkhidmatan dan di kawasan yang menghadapi masalah liputan perkhidmatan yang lemah.
 
Pembinaan menara-menara komunikasi baharu ini dilaksanakan melalui 2 projek utama iaitu projek Time 3 yang melibatkan pembinaan 1,000 menara dan projek Time 3 Lanjutan, juga melibatkan penambahan 1,000 menara yang menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 2,000 menara di seluruh negara.
 
Di samping itu, tambahan 100 lagi menara komunikasi berskala kecil yang menyediakan perkhidmatan jalur lebar mudah alih 3G turut dibina bagi menangani masalah liputan perkhidmatan di kawasan berpenduduk jarang dan di kawasan yang terlindung dari mendapat liputan perkhidmatan.
 
  • PENAIKTARAFAN MENARA KOMUNIKASI SEDIA ADA
Selain pelaksanaan menara komunikasi baharu di bawah projek Time 3 dan Time 3 Lanjutan, menara komunikasi sedia ada turut dinaiktaraf bagi menampung permintaan terhadap jalur lebar mudah alih yang semakin meningkat. Melalui inisiatif ini, menara-menara komunikasi sedia ada yang hanya menyediakan perkhidmatan 2G/3G akan dinaiktaraf kepada perkhidmatan 3G/4G.
 
Sehingga 2018, sejumlah 1,769 menara komunikasi baharu telah dibina dan 5,417 menara komunikasi sedia ada telah dinaiktaraf.
 
2. PELUASAN JALUR LEBAR TALIAN TETAP
  • JALUR LEBAR PINGGIR BANDAR & JALUR LEBAR LUAR BANDAR
Inisiatif Jalur Lebar Pinggir Bandar (SUBB) dan Jalur Lebar Luar Bandar (RBB) telah dilaksanakan sejak tahun 2015 dengan objektif untuk melonjakkan kadar penembusan jalur lebar negara dengan menyediakan perkhidmatan jalur lebar talian tetap berkelajuan tinggi kepada pengguna di kawasan pinggir dan luar bandar.
 
Inisiatif SUBB dilaksanakan melalui kerjasama awam-swasta bersama Telekom Malaysia melibatkan pemasangan rangkaian gentian optik baharu dan menaiktaraf 425 ibusawat di seluruh negara. Manakala bagi inisiatif RBB, ianya dibiayai sepenuhnya di bawah program PPS melibatkan penaiktarafan 92 ibusawat di seluruh negara.
 
Sehingga 2018, sejumlah 563,874 sambungan di bawah inisiatif SUBB dan RBB telah tersedia untuk langganan di seluruh negara.
 
3. PEMBANGUNAN RANGKAIAN TERAS
  • PELUASAN RANGKAIAN GENTIAN OPTIK
Inisiatif ini dilaksanakan bagi menyediakan rangkaian backhaul untuk menyokong penyediaan perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi kepada pengguna yang meliputi rangkaian talian tetap dan mudah alih.
 
Sehingga 2018, sepanjang 1,141.79 kilometer rangkaian gentian optik telah siap dipasang di seluruh negara.
 
  • SISTEM KABEL DASAR LAUT KE SABAH & SARAWAK
Sistem kabel dasar laut ini dilaksanakan bagi memenuhi permintaan kepada lebar jalur (bandwidth) yang semakin meningkat di antara Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak, dan ianya telah siap sepenuhnya pada Mei 2017 melalui kerjasama awam-swasta bersama Telekom Malaysia.
 
Jarak keseluruhan rangkaian kabel dasar laut ini yang telah berjaya dilaksanakan adalah sepanjang 3,819 kilometer dengan kapasiti semasa 4Tbps merangkumi penaiktarafan 6 stesen pendaratan kabel dasar laut yang menghubungkan Semenanjung Malaysia ke Sarawak dan Sabah.
 
  • SISTEM KABEL DASAR LAUT KE PULAU-PULAU
Inisiatif ini mula dilaksanakan pada tahun 2017 melibatkan pemasangan kabel gentian optik dasar laut di antara tanah besar ke Pulai Tioman, Pulau Pangkor dan Pulau Perhentian dengan jarak keseluruhan sepanjang 99 kilometer dengan kapasiti semasa 100 Gbps.
 
Sistem kabel dasar laut ini yang telah siap sepenuhnya pada Disember 2018 menyediakan jalur lebar berkelajuan tinggi ke ketiga-tiga pulau bagi memenuhi permintaan komuniti setempat terhadap lebar jalur (bandwidth) dan perkhidmatan internet yang semakin meningkat.
 
4. CAPAIAN KOMUNITI DAN PROGRAM SOKONGAN
  • PUSAT INTERNET
Pusat Internet menyediakan kemudahan capaian internet secara kolektif dan pelbagai latihan termasuk latihan ICT dan keusahawanan yang ditawarkan secara percuma kepada semua ahli. Ia juga turut menyediakan perkhidmatan sampingan seperti percetakan, fotokopi, pengimbasan dan laminasi.
 
Pusat Internet dilaksanakan di kawasan yang kurang liputan perkhidmatan termasuklahgolongan miskin bandar di seluruh negara.
 
Pelbagai program turut dianjurkan di Pusat Internet seperti program kesedaran dan keselamatan penggunaan internet melalui kempen Klik Dengan Bijak, pembangunan kreativiti dan inovasi dalam bidang percetakan 3D, dron dan robotik melalui komuniti MyMaker, program saringan kesihatan percuma melalui program Kospen (Komuniti Sihat Pembina Negara) dan pelbagai lagi program-program komuniti.
 
Sehingga 2018, sebanyak 869 Pusat Internet telah siap dibina dan beroperasi sepenuhnya di seluruh negara.
 
  • SUBSIDI PERANTI PINTAR
Inisiatif Subsidi Peranti Pintar mula diperkenalkan pada tahun 2014 dengan menawarkan telefon pintar terpilih kepada pengguna dalam kategori B40. Di bawah inisiatif ini, pengguna yang layak akan menerima subsidi RM250 bagi setiap peranti dengan langganan internet percuma selama satu tahun yang ditawarkan melalui syarikat telekomunikasi utama iaitu Celcom, Maxis, Digi dan Umobile.
 
Sehingga 2018, sejumlah 2,488,721 unit peranti pintar telah diaktifkan di seluruh negara.

Untuk maklumat lanjut, sila rujuk Laporan Tahunan PPS terkini di sini.
 
Kandungan Berkaitan
Kongsi artikel ini
Follow