Pusat Media

MYTV-TM Digesa Menyelesaikan Gangguan Perkhidmatan TV Digital

14 Nov 2018
Masalah komersial yang belum selesai antara pihak MYTV Broadcasting Sdn. Bhd (MYTV) dan Telekom Malaysia (TM) telah menyebabkan berlakunya gangguan perkhidmatan ujian TV Digital. Sehingga 14 November 2018, ujian transmisi ke beberapa buah negeri termasuk Kelantan, Pahang, Terengganu, Negeri Sembilan, Perak, Melaka, Sabah dan Sarawak telah terjejas.   

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah pun mengadakan beberapa mesyuarat dengan pihak MYTV dan TM bagi memudahcara penyelesaian kepada masalah yang dihadapi. MYTV dan TM telah diarahkan untuk menyelesaikan masalah-masalah yang berkaitan agar perkhidmatan TV Digital kepada para penonton dapat ke udara semula dengan secepat mungkin.   

MCMC difahamkan bahawa MYTV telah pun memajukan cadangan penyelesaian untuk pertimbangan pihak TM. Demi kepentingan penonton, MYTV dan TM tidak seharusnya lupa akan penyampaian perkhidmatan mereka kepada Rakyat. Mereka perlu bekerja dengan lebih keras untuk menyelesaikan perbezaan komersial mereka dengan pantas.  

Buat masa ini, rakyat masih boleh menonton rancangan-rancangan TV yang disediakan oleh perkhidmatan televisyen percuma di platform analog.   

MCMC sedang memantau perkembangan projek TV Digital dengan rapi bagi memastikan sasaran untuk penutupan siaran analog kekal pada suku pertama tahun 2019.   
Kongsi artikel ini
Follow