Pusat Media

Malaysia Terajui Pelaksanaan 5G Di Asia Tenggara

29 Jul 2019
MALAYSIA TERAJUI PELAKSANAAN 5G DI ASIA TENGGARA
 
  • Sebanyak 66 kes kegunaan 5G melibatkan sektor Kerajaan dan swasta telah dikenal pasti di mana anggaran jumlah pelaburan daripada industri sahaja mencecah RM50 juta.
  • Satu Rundingan Awam akan diadakan bulan hadapan diikuti dengan penghantaran laporan akhir pada November 2019
 
CYBERJAYA, 29 Julai 2019 --- Pasukan Petugas Khas 5G Negara yang telah dimandatkan untuk mengkaji dan mengesyorkan strategi holistik bagi pelaksanaan teknologi mudah alih generasi kelima atau 5G di Malaysia, kini di landasan yang betul dalam memuktamadkan kajian mereka menjelang November 2019.

Pasukan Petugas Khas tersebut diketuai oleh Pengerusi Dato’ Mohd Ali Hanafiah bersama-sama dengan 113 anggota merangkumi ahli-ahli tokoh akademik, pengeluar, penyedia perkhidmatan telekomunikasi, serta kementerian-kementerian dan agensi-agensi kerajaan. Pasukan itu telah menyampaikan Laporan Pertengahan Penggal kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia, YB Gobind Singh Deo, hari ini.

Sepanjang tempoh lapan (8) bulan yang lalu, Pasukan Petugas Khas telah melaksanakan pelbagai aktiviti termasuk menjalankan ujian percubaan 5G yang terdiri daripada Pameran 5G dan ujian di lapangan untuk memahami keupayaan teknikal dan prestasi teknologi 5G. Panggilan Untuk Kerjasama bagi ujian percubaan pertama 5G telah diumumkan pada November 2018.

Seterusnya, satu bengkel dengan kerjasama pelbagai kementerian dan pihak berkepentingan yang relevan telah dianjurkan pada 27 Jun lalu, untuk mewujudkan kesedaran dalam kalangan penggubal dasar mengenai manfaat 5G, mengenal pasti halangan dalam peraturan sedia ada bagi sektor-sektor tertentu serta kes-kes kegunaan 5G yang berimpak tinggi.
 
Satu Panggilan Untuk Kerjasama bagi Projek-Projek Demonstrasi 5G turut diumumkan pada Jun 2019. Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah menerima kertas cadangan daripada 11 buah syarikat merentasi vertikal seperti pertanian, pendidikan, hiburan, penjagaan kesihatan, pembuatan dan industri-industri pemprosesan, minyak dan gas, bandar pintar, pengangkutan dan pelancongan yang bakal mendapat manfaat daripada teknologi 5G. Sebanyak 66 kes kegunaan 5G melibatkan pihak Kerajaan dan juga sektor swasta telah dikenal pasti, di mana anggaran jumlah pelaburan daripada industri sahaja mencecah RM50 juta.

Pada 1 Julai lalu, satu Siasatan Awam mengenai Penguntukan Jalur Spektrum untuk Perkhidmatan Jalur Lebar Mudah Alih telah dimulakan dan ianya akan tamat pada 30 Ogos 2019. Hasil dapatan daripada Siasatan Awam itu akan dipertimbangkan untuk perancangan Spektrum di Malaysia yang bakal dimuktamadkan menjelang suku pertama 2020.

Sementara itu, Pasukan Petugas Khas 5G juga telah mengenal pasti dan mengesyorkan jalur-jalur spektrum lain untuk kegunaan 5G, misalnya jalur pertengahan daripada 3.3GHz hingga 4.2GHz; dan jalur tinggi atau jalur-jalur millimeter wave iaitu 26GHz dan 28GHz. Hasil dapatan pertengahan penggal ini adalah berdasarkan populariti jalur spektrum dan juga kesediaan semasa ekosistem teknologi.

Pada masa yang sama, Pasukan Petugas Khas memandang serius isu kesihatan yang dibangkitkan oleh segelintir pihak berhubung 5G dan pancaran frekuensi radio . Pemeriksaan MCMC dan juga ujian yang telah dijalankan oleh penyedia rangkaian mendapati pancaran frekuensi radio daripada menara-menara di Malaysia adalah dalam lingkungan had yang selamat dan mematuhi Mandatory Standard on Electromagnetic Field (EMF) Emissions. Pancaran EMF daripada infrastruktur komunikasi radio ini dikategorikan sebagai radiasi non-ionising, yakni tidak mempunyai tenaga yang mencukupi untuk memecah mahupun mengganggu struktur molekul badan manusia, berbanding dengan radiasi ionising.

Terdahulu, YB Gobind Singh dalam ucapannya berkata: “Pada hari ini, saya amat gembira atas semangat Kemakmuran Bersama untuk mengumumkan bahawa kami akan memperluaskan demonstrasi 5G daripada kawasan ujian percubaan asal (test bed trials) di Putrajaya dan Cyberjaya, ke lima(5) kawasan atau negeri iaitu Kedah, Perak, Selangor, Terengganu dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.  Wawasan kami untuk mentransformasikan Malaysia sebagai sebuah negara digital memerlukan penyelarasan lebih jitu dan sinergi merentasi Kementerian-kementerian, kerajaan-kerajaan negeri dan industri serta sokongan daripada seluruh rakyat Malaysia."

YB Gobind turut mengumumkan bahawa Pasukan Petugas Khas 5G yang sedia ada ini akan dikenali sebaga Pasukan Petugas Pelaksanaan 5G setelah selesai Laporan Akhir nanti.

Pengerusi MCMC, Al-Ishsal Ishak berkata, “MCMC akan terus menjalin kerjasama erat dengan kementerian-kementerian, rakan-rakan industri utama merentasi vertikal, Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), dan Start-Ups untuk menangani cabaran dan mempercepatkan pelaksanaan 5G. Matlamat kami adalah untuk mewujudkan satu ekosistem 5G yang inklusif dan bersemangat di mana keupayaan, kemahiran serta peluang-peluang perniagaan baharu dapat berkembang sekaligus mentransformasikan Malaysia menjadi salah sebuah peneraju ekonomi digital di Asia Tenggara.”

Susulan penyerahan Laporan Pertengahan Penggal ini, Pasukan Petugas Khas akan mengadakan satu Rundingan Awam bagi mendapatkan maklum balas berhubung dapatannya itu, sebelum memuktamad dan menyerahkan laporan akhir kepada Kerajaan pada suku keempat 2019.

PDF
Kongsi artikel ini
Follow