Pusat Media

Malaysia Menuju Ke Arah 5G Dengan Projek-Projek Demonstrasi Bermula Oktober 2019

30 Sep 2019
  • Lapan (8) syarikat yang mengambil bahagian akan mempamerkan kes-kes kegunaan 5G mereka merentasi sembilan (9) vertikal di enam (6) buah negeri: Kedah, Perak, Pulau Pinang, Selangor, Terengganu dan Kuala Lumpur.
  • Antara 55 kes-kes kegunaan 5G itu termasuklah Lampu Isyarat Pintar, Parkir Pintar, Diagnosis Jarak Jauh, Pelancongan Perubatan, Perundingan Perubatan Jarak Jauh, Pertanian Pintar, Penjejakan Kenderaan dan 5G 360° Panoramic Live Video Surveillance.  
CYBERJAYA, 30 September 2019 --- Malaysia bakal menyaksikan demonstrasi bagi kes-kes kegunaan 5G bermula Oktober 2019 ini dengan anggaran pelaburan berjumlah RM116 juta daripada lapan (8) syarikat, sejajar dengan aspirasi Kerajaan untuk mempercepatkan pelaksanaan 5G untuk perniagaan merentasi pelbagai industri seperti pelancongan, penjagaan kesihatan dan pertanian. 

Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Al-Ishsal Ishak berkata, sebanyak 32 tapak 5G di enam (6) buah negeri iaitu Kedah, Perak, Pulau Pinang, Selangor, Terengganu dan Kuala Lumpur akan beroperasi untuk tempoh selama enam bulan, dengan 55 kes kegunaan 5G membabitkan sembilan (9) vertikal iaitu pertanian, pendidikan, hiburan/media, penjagaan kesihatan digital, pemprosesan dan pembuatan, minyak dan gas, bandar pintar, pengangkutan pintar dan pelancongan. 

“Projek-Projek Demonstrasi 5G akan tertumpu kepada usaha untuk memupuk pembangunan sebuah ekosistem 5G yang holistik dan inklusif di dalam negara dalam usaha untuk merangsang permintaan serta penggunaan teknologi 5G bagi perniagaan dan pengguna. Kami berharap 
sebahagian daripada kes kegunaan 5G dapat dikomersialkan bermula suku ketiga tahun 2020,” kata Al-Ishsal. 

Antara kes-kes kegunaan yang dimaksudkan adalah Lampu Isyarat Pintar, Parkir Pintar, Diagnosis Jarak Jauh, Pelancongan Perubatan, Perundingan Perubatan Jarak Jauh, Pertanian Pintar, Realiti Terimbuh untuk pendidikan, Penjejakan Kenderaan serta 5G 360° Panoramic Live Video Surveillance. 

Menurut Al-Ishsal: “Sokongan teguh dan pelaburan daripada syarikatsyarikat yang mengambil bahagian membuktikan komitmen pihak industri dalam mewujudkan penggunaan kukuh untuk aplikasi-aplikasi 5G berdaya maju yang akan memberi impak positif kepada taraf hidup rakyat Malaysia. MCMC berharap agar kes-kes kegunaan ini dapat menarik lebih banyak pelaburan ke dalam pembangunan 5G di Malaysia serta cadangan-cadangan untuk memperhebatkan kesalinghubungan di negeri-negeri lain di seluruh negara.”  
Kongsi artikel ini
Follow