Pusat Media

SIARAN AKHBAR: RM3 Bilion Diperuntukkan Untuk Pelaksanaan Inisiatif NFCP Sepanjang Tahun 2020

28 Feb 2020
  • Enam (6) inisiatif NFCP iaitu NFCP 1- NFCP 6 bermula tahun ini 
  • NFCP akan menambah baik kelajuan perkhidmatan jalur lebar talian tetap dan meluaskan liputan 3G dan 4G, selain menyediakan asas bagi rangkaian baharu 5G 
 
CYBERJAYA, 28 Februari 2020 – Berikutan pengumuman Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 oleh Perdana Menteri Interim, YAB Tun Dr Mahathir bin Mohamad pada 27 Februari 2020, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) ingin mengumumkan pelaksanaan enam (6) projek NFCP di bawah Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara [National Fiberisation and Connectivity Plan (NFCP)] bagi tahun 2020.  
 
NFCP bertujuan untuk mengurangkan jurang digital melalui peluasan liputan dan peningkatan kualiti perkhidmatan jalur lebar talian tetap dan mudah alih, selain menyediakan asas bagi rangkaian baharu untuk teknologi 5G. 
 
Keenam-enam projek NFCP ini akan menambah baik kesalinghubungan digital di seluruh negara, selain memastikan kesinambungan pelaburan awam kepada industri melalui Kumpulan Wang Pemberian Perkhidmatan Sejagat (PPS). 
 
Kos keseluruhan bagi kesemua enam (6) projek ini adalah dianggarkan sebanyak RM3 bilion dan akan dibiayai sepenuhnya melalui Kumpulan Wang PPS di bawah kawalselia dan tadbir urus MCMC.  Seperti yang diumumkan semalam, MCMC akan mempercepatkan pelaksanaan projekprojek infrastruktur di bawah NFCP selaras dengan Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 khususnya Strategi III: Menggalakkan Pelaburan Berkualiti. 
 
Kesemua enam (6) projek NFCP merangkumi penyediaan perkhidmatan selular awam dan jalur lebar talian tetap di seluruh negara dan mampu melonjakkan tahap sosio-ekonomi Rakyat. Terdapat juga manfaat langsung kepada keseluruhan ekosistem yang terdiri daripada penyedia perkhidmatan komunikasi, kontraktor tempatan, penyedia infrastruktur dan peralatan serta penyedia perkhidmatan penyelesaian. NFCP akan merangsang pelaburan dan inovasi dalam industri-industri berkaitan di samping mewujudkan hampir 20,000 peluang pekerjaan baharu seperti yang dianggarkan oleh MCMC, sepanjang tempoh pelaksanaan lima (5) tahun bermula dari tahun 2019. 
 
NFCP 1 yang telah bermula pada 15 Februari 2020 dan NFCP 2, yang pada masa ini dalam proses penerimaan dokumen cadangan daripada pemegang-pemegang lesen yang layak, akan meluaskan liputan perkhidmatan selular awam di pelbagai negeri di seluruh negara.   
 
Sementara itu, NFCP 3 menyasarkan untuk menyediakan rangkaian gentian optik dan perkhidmatan jalur lebar dengan kelajuan sehingga 500Mbps di 100,000 premis komersial dan kediaman. Premis-premis ini berada di 74 buah bandar yang terdapat di kawasan pinggir bandar dan luar bandar. Antara bandar-bandar yang telah dikenal pasti adalah Kudat (Sabah), Serian (Sarawak), Labis (Johor), Sekinchan (Selangor), Baling (Kedah), Lenggong (Perak), Bera (Pahang) dan Bachok (Kelantan).  
 
Dokumen Permintaan untuk Cadangan untuk NFCP 3 pula telah dikeluarkan pada 14 Februari 2020 dan tarikh akhir untuk menghantarnya adalah pada 12 Mei 2020.  NFCP 3 akan memperkenalkan “pendekatan pelaburan padanan” yang mana, pemegang lesen yang layak turut perlu mengemukakan cadangan pembiayaan nilai setara bagi pelaksanaan rangkaian jalur lebar gentian optik. 

Inisiatif-inisiatif lain dalam perancangan bagi tahun ini adalah:  
 
 NFCP 4 – melibatkan penyediaan kesalinghubungan di 151 perkampungan Orang Asli. Permintaan untuk Cadangan untuk projek ini dijangka akan dikeluarkan pada suku kedua 2020.   
 
 NFCP 5 – untuk menaiktaraf 377,360 pengguna rangkaian jalur lebar tembaga (copper) kepada rangkaian jalur lebar gentian optik dan dijangka akan bermula pada suku pertama, 2020. Telekom Malaysia Berhad (TM) akan melaksanakan projek ini dengan menggunakan sumbangan PPS oleh TM sendiri selaras dengan Peraturan-peraturan Komunikasi dan Multimedia (Pemberian Perkhidmatan Sejagat) 2002. 
 
 
 NFCP 6 – melibatkan pemasangan kemudahan rangkaian dan pelaksanaan perkhidmatan rangkaian di kira-kira 740 lokasi di seluruh negara untuk penyediaan perkhidmatan selular awam. Permintaan untuk Cadangan bagi projek ini dijangka akan dikeluarkan pada suku keempat 2020. 
 
“Pelaburan dalam infrastruktur digital adalah landasan penting untuk negara menongkah arus Revolusi Industri Keempat demi merangsang pertumbuhan ekonomi negara serta mewujudkan peluang yang lebih baik kepada rakyat Malaysia di dalam ekonomi digital.  Ia juga penting untuk menggalakkan ekonomi tempatan ketika negara sedang menghadapi isuisu seperti wabak Covid-19 dan keadaan ekonomi global yang mencabar,” kata Pengerusi MCMC Al-Ishsal Ishak. 
 
MCMC juga bekerjasama dengan industri komunikasi dan multimedia untuk membangunkan lebih banyak inisiatif yang secara langsung akan memberi manfaat kepada pengguna, dan akan membuat pengumuman mengenai inisiatif-inisiatif ini dalam masa terdekat. 
 
Layari www.nfcp.my untuk mendapatkan maklumat lengkap mengenai NFCP 1. Maklumat berkaitan inisiatif-inisiatif lain juga akan dikemas kini di laman sesawang tersebut, setelah dianugerahkan kepada pemegang lesen yang berjaya.   

PDF
Kongsi artikel ini
Follow