Berita Rasmi

MCMC Kenakan 107 Kompaun Bernilai RM3.83 Juta Terhadap Syarikat-Syarikat Telekomunikasi

    MCMC KENAKAN 107 KOMPAUN BERNILAI RM3.83 JUTA TERHADAP SYARIKAT-SYARIKAT TELEKOMUNIKASI  
     
    • Jumlah nilai kompaun yang dikenakan terhadap syarikat-syarikat telekomunikasi sehingga 31 Julai 2019 melebihi 20.4% daripada jumlah nilai kompaun keseluruhan tahun 2018
    • Kesalahan-kesalahan yang dilakukan adalah ketidakpatuhan kepada Garis Panduan Pendaftaran Pengguna Akhir Prabayar, Kod Amalan Am Pengguna dan Standard-Standard Mandatori 
     
    CYBERJAYA, 17 Ogos 2019 --- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mengeluarkan sebanyak 107 kompaun bernilai RM3.83 juta terhadap syarikat-syarikat telekomunikasi sehingga 31 Julai 2019, atas pelbagai kesalahan seperti ketidakpatuhan kepada Garis Panduan Pendaftaran Pengguna Akhir Prabayar, Kod Amalan Am Pengguna dan Standard-Standard Mandatori. 

    Jumlah nilai kompaun ini adalah 20.4% lebih tinggi berbanding dengan jumlah nilai yang dikeluarkan terhadap syarikat-syarikat telekomunikasi sepanjang tahun 2018 iaitu RM3.18 juta.  
    Sehingga 31 Mac 2019 yang lalu, sebanyak 63 kompaun bernilai RM2.32 juta telah dikeluarkan, manakala bagi tempoh antara April 2019 sehingga 31 Julai 2019 pula, MCMC telah mengeluarkan sebanyak 44 kompaun bernilai RM1.51 juta. 

    Daripada 44 kompaun yang dikeluarkan itu, syarikat YTL Communications Sdn Bhd telah dikenakan kompaun tertinggi dengan 15 kompaun bernilai RM750,000. Ini diikuti dengan syarikat Symphonet Sdn Bhd yang dikenakan 15 kompaun bernilai RM150,000 dan Maxis Broadband Sdn Bhd sebanyak enam (6) kompaun bernilai RM250,000.  

    Syarikat Digi Telecommunications Sdn Bhd dan Enabling Asia Tech Sdn Bhd masing-masing dikenakan sebanyak dua (2) kompaun dengan nilai keseluruhan berjumlah RM200,000 manakala syarikat Celcom Axiata Berhad, Tune Talk Sdn Bhd, Telekom Malaysia Berhad dan U Mobile Sdn Bhd pula masing-masing dikenakan satu (1) kompaun dengan nilai kompaun keseluruhan berjumlah RM160,000. 

    Tindakan ini membuktikan ketegasan pihak MCMC dalam menangani isu-isu yang membabitkan kepentingan pengguna. Usaha ini akan berterusan untuk memastikan syarikat-syarikat telekomunikasi menawarkan perkhidmatan yang bermutu, selain melindungi dan memantapkan hak pengguna. 

    Pada masa yang sama, MCMC juga memberi peringatan kepada syarikatsyarikat telekomunikasi agar sentiasa mematuhi syarat lesen, Kod Amalan Am Pengguna dan instrumen perundangan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 demi kepentingan bersama. 

    PDF

Kandungan Berkaitan