Mesyuarat Pasukan Petugas Kumpulan Keselamatan Pos Kebangsaan

MCMC telah mengadakan Mesyuarat Pasukan Petugas Kumpulan Keselamatan Pos Kebangsaan atau Malaysia-Postal Security Group (MY-PSG) yang julung kali diadakan pada 13 Disember 2023 di Ibu Pejabat MCMC, Cyberjaya.

Mesyuarat ini telah dipengerusikan oleh Ketua Pegawai Pembangunan, YBrs. Ir. Azizi A Hadi dan telah dihadiri oleh barisan ahli-ahli yang telah dilantik iaitu terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Komunikasi, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
 
Penubuhan Pasukan Petugas MY-PSG adalah sebagai platform penasihat dan kolaborasi di antara Kementerian dan Agensi Penguatkuasaan Induk bagi membendung penyalahgunaan rangkaian pos bagi penghantaran barang-barang yang terlarang. Melalui platform ini juga, segala maklumbalas serta cadangan pelan tindakan oleh pihak berkuasa kepada sektor pos dalam membanteras sebarang insiden serta penyalahgunaan rangkaian pos dapat dikongsi dan dilaksanakan secara bersepadu.
 
Pihak MCMC berharap melalui Pasukan Petugas MY-PSG ini dapat merintis langkah-langkah utama dalam mendepani kes-kes jenayah membabitkan rangkaian pos sama ada yang melibatkan penyeludupan dadah berbahaya, pengangkutan barangan dan ubat-ubatan terlarang, pemerdagangan hidupan liar, spesis flora dan fauna yang dilindungi, produk tiruan serta lain-lain produk haram merentasi sempadan negara dan antarabangsa.

#MCMC
#MYPSG
 
 
Kandungan Berkaitan
Kongsi artikel ini
Follow