Pusat Media

14 PEDi di Perlis mudahkan rakyat mendaftar PADU

05 Jan 2024, Astro AWANI
KANGAR: Jabatan Perangkaan (DOSM) Perlis membuka kaunter Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) di 14 Pusat Ekonomi Digital (PEDi) di Perlis secara berjadual untuk memudahkan penduduk di negeri itu membuat pendaftaran dan mengemas kini maklumat dalam sistem berkenaan.

 Pengarah Perangkaan Perlis, Hamka Ismail berkata kemudahan capaian internet yang baik di PEDi dapat membantu rakyat terutamanya penduduk kampung mengakses laman sesawang bagi membuat pendaftaran sistem PADU tanpa sebarang masalah.

"Kami ada pasukan membuka kaunter di PEDi tetapi tidak dibuka secara serentak, kaunter di PEDi ini dibuka secara ikut jadual. Selain pembukaan kaunter di PEDi, kami juga membuka kaunter di Bangunan Wisma Persekutuan di Perlis dan juga di Pejabat Perangkaan Perlis sendiri,"katanya ketika dihubungi Bernama.

Hamka berkata 14 PEDI itu ialah PEDi Tambun Tulang, PEDi Pokok Jawi, PEDi Kampung Surau, PEDi Beseri, PEDi Batas Lintang, PEDi Felda Chuping, PEDi Program Perumahan Rakyat (PPR) Bintong, PEDi Rancangan Perumahan Awam (RPA) Arau, PEDi PPR Seri Sena, PEDi Padang Pauh, PEDi Padang Besar Selatan, PEDi Felda Rimba Mas, PEDi Kampung Pauh dan PEDi Felda Mata Ayer.

Beliau berkata Skuad Jelajah juga akan digerakkan dari semasa ke semasa ke lokasi terpilih termasuk kawasan tumpuan orang ramai serta pejabat kerajaan untuk memastikan penduduk di negeri itu tidak tercicir daripada mendaftar dan menegmas kini maklumat dalam sistem PADU.

Sementara itu, Hamka berkata 3,732 penduduk Perlis yang berumur 18 tahun ke atas telah mengemas kini maklumat dalam PADU setakat 9 pagi semalam dan mengharapkan seluruh penduduk negeri itu mengemas kini maklumat peribadi melalui sistem itu pada waktu terdekat.

"Alhamdulillah, sehingga kini tiada rungutan serius yang diterima daripada penduduk negeri Perlis sepanjang pengemaskinian maklumat peribadi di PADU.

"Namun begitu, Jabatan Perangkaan Perlis sentiasa menambah baik kualiti perkhidmatan yang disediakan bagi melancarkan proses pengemaskinian ini dengan menangani isu capaian dan kegagalan proses verifikasi e-KYC pengguna dari semasa ke semasa," katanya.

Sementara itu, Pengurus PEDi Tambun Tulang, Arau, Nor Hidayah Razali berkata pihaknya menerima sambutan menggalakkan daripada penduduk sekitar kawasan itu terutama golongan berumur lingkungan 35 tahun yang hadir ke PEDi itu untuk mendaftar dan mengemas kini maklumat masing-masing menerusi PADU.

"Sambutan memberangsangkan dengan anggaran lebih 50 penduduk sekitar sini datang untuk mendaftar PADU selepas pelancaran itu. Selepas pelancaran hari kedua pula lagi ramai orang datang ke sini mendaftar, kebanyakan mereka yang berumur 35 tahun dan ke atas," katanya ketika ditemui hari ini.

Nor Hidayah berkata PEDi Tambun Tulang mengadakan sesi pendaftaran PADU mengikut jadual untuk penduduk kampung dan taman perumahan sekitar situ bagi memudahkan pergerakan orang ramai datang ke PEDi itu sekali gus mengelakkan kesesakan pada satu-satu masa.

"Kami di sini, buat secara ikut jadual macam peringkat awal, kami sasarkan untuk giliran kepada penduduk taman ini iaitu Taman Cempaka Putih dan kumpulan seterusnya barulah kepada penduduk kampung yang berdekatan," katanya.

Sementara itu peniaga makanan di Kangar, Rosman Murad, 53, berkata beliau cuba untuk mendaftar semasa pelancaran PADU tetapi tidak boleh mengakses masuk ke laman sesawang berkenaan.

"Bagaimanapun saya akan cuba mendaftar lagi kerana saya hanya peniaga, jika kerajaan hendak bagi bantuan akan lebih mudah jika maklumat diri saya berada dalam sistem PADU ini, tetapi buat masa sekarang saya mengalami kesukaran kerana laman sesawang itu tidak dapat diakses," katanya.
Seorang pelajar institusi pengajian tinggi awam Nurin Iskandar, 20, berkata beliau akan membuat pendaftaran bagi memudahkan urusannya mendapatkan bantuan kerajaan.

"Saya pelajar IPT (institusi pengajian tinggi) di Arau semester tiga, jadi saya ada baki lagi satu tahun setengah untuk berada di universiti, jika saya tidak mendaftar rugilah saya, memandangkan keluarga saya jauh, saya sangat memerlukan bantuan dari segi kewangan untuk memudahkan urusan pengajian di universiti," katanya.

Berkongsi pendapat sama, pekerja kedai komputer di Arau, Rahimi Othman, 24, berkata beliau akan mendaftar melalui sistem itu dalam waktu terdekat untuk menikmati manfaat bantuan kerajaan.

-- BERNAMA
 
Kongsi artikel ini
Follow