Pusat Media

24 stesen pemancar komunikasi negeri terjejas banjir kembali beroperasi

27 Dis 2023, Utusan TV
SEBANYAK 24 daripada 110 stesen pemancar komunikasi yang terjejas di negeri-negeri berhadapan bencana banjir telah pun pulih dan kembali beroperasi, setakat pukul 10 pagi tadi.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam kenyataan memaklumkan, pejabatnnya di empat negeri yang terjejas banjir sedang giat mencari penyelesaian bagi baki 86 lagi stesen pemancar yang belum beroperasi.

Katanya, usaha itu dilakukan dengan kerjasama rapat bersama penyedia perkhidmatan.

Pada masa sama, MCMC turut menyediakan pegawai-pegawai di Kelantan, Pahang, Selangor dan Terengganu yang boleh dihubungi sekiranya berdepan masalah rangkaian. 

"Bagi Kelantan, pengguna boleh menghubungi Yuzani Mohamad Yusoff di talian 09-7454828 atau e-mel [email protected] manakala Mohd Razlan Rani untuk negeri Pahang di talian 09-5154825 atau e-mel [email protected].

Pengguna yang menghadapi masalah rangkaian di Selangor boleh menghubungi Muhammad Jaflus Baharudin di talian 03-86887403 atau e-mel [email protected] sementara Ahmad Baihaqi Zinbahar untuk Terengganu di talian 09-6288029 atau e-mel [email protected]," katanya dalam kenyataan hari ini. 

Sementara itu, MCMC turut mengingatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan sebarang berita palsu atau mengambil kesempatan dengan situasi banjir buruk yang melanda empat buah negeri ketika ini.

"Sebarang muat naik atau perkongsian perlu dipastikan kesahihannya.

"Sama-sama kita memainkan peranan sebagai rakyat Malaysia yang bertanggungjawab dalam situasi sukar begini,"katanya.

Dalam pada itu, MCMC memaklumkan bersiap siaga dengan sebarang kemungkinan banjir melibatkan negeri-negeri lain.

"MCMC menzahirkan rasa simpati kepada mangsa-mangsa banjir di empat buah negeri yang terlibat setakat ini.

"Dalam keadaan sukar ini, MCMC memahami bahawa telekomunikasi adalah aspek penting bagi menghubungkan mangsa yang terjejas banjir dengan ahli keluarga masing-masing,"jelasnya.


 
Kongsi artikel ini
Follow