Pusat Media

Guna WiFi percuma PIK untuk PdPR

08 Jul 2021, Berita Harian

KUALA LUMPUR: Pelajar yang mempunyai masalah capaian internet ketika sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), boleh menggunakan perkhidmatan WiFi disediakan di 873 Pusat Internet Komuniti (PIK) di seluruh negara.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah, berkata walaupun ketika ini semua PIK ditutup berikutan Perintah Kawasan Pergerakan (PKP), namun mereka masih boleh menggunakan perkhidmatan itu dari luar premis secara percuma.

"Perkhidmatan ini diharap dapat membantu pelajar yang mempunyai masalah capaian internet terutama di kawasan luar bandar bagi memudahkan sesi PdPR mereka.

"Selepas ini apabila PIK boleh beroperasi semula seperti biasa, pelajar boleh masuk ke premis menggunakan perkhidmatan WiFi dengan lebih selesa," katanya pada sidang media Pemerkasaan Pendigitalan Usahawan Kecik (PUPUK) dan Titik Sentuhan di PIK yang diadakan secara maya, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas mengenai permohonan Kerajaan Kedah yang meminta PIK di setiap daerah dibuka semula bagi membantu sesi PdPR pelajar kurang berkemampuan yang tinggal di luar bandar.

Terdapat 73 PIK di negeri itu yang harus diberi pertimbangan supaya beroperasi semula bagi membolehkan pelajar memperoleh capaian internet dengan mudah.

Sementara itu, Saifuddin berkata, semua PIK di seluruh negara kini dalam transformasi supaya dapat melahirkan lebih ramai usahawan mikro luar bandar.

Katanya, usahawan mikro adalah tonggak ekonomi negara yang penting dan berupaya menyediakan peluang pekerjaan, sekali gus menyokong pertumbuhan ekonomi negara.

"Baru-baru ini Perdana Menteri mengumumkan program Permerkasaan Pendigitalan Usahawan Kecil (PUPUK) bagi mendorong usahawan mikro beralih kepada pendigitalan.

"Program dikoordinasikan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) ini bakal memanfaatkan 800,000 usahawan mikro menjelang tahun 2025," katanya.

Sebagai permulaan, katanya, PUPUK@Shopee yang bermula pada 29 Jun lalu, disertai seramai 545 usahawan mikro yang mengikuti program melalui platform e-dagang itu.

"Bagaimanapun, kita menyasarkan seramai 1,000 usahawan mikro mengikuti program ini dengan pendapatan mereka meningkat 30 peratus daripada pendapatan asal menjelang Disember ini," katanya.

Selain itu, Saifuddin berkata, PIK juga bakal melantik 600 orang Rakan PUPUK mulai tahun ini sehingga 2025, sekali gus mewujudkan peluang pekerjaan kepada orang ramai.

Katanya, sasaran awal adalah untuk melantik Rakan PUPUK untuk 40 PIK dan akan ditambah 40 lagi bagi setiap suku tahun.

"Dalam masa terdekat pula, SKMM akan memulakan program PUPUK@AEON yang membuka peluang kepada 100 usahawan mikro melalui PIK untuk menjual produk mereka di Pasaraya AEON secara fizikal dan secara dalam talian tidak lama lagi.

"Saya berharap program PUPUK yang turut mendapat kerjasama pelbagai agensi dan pihak swasta akan terus maju jaya.

"Saya yakin program dijalankan di bawah inisiatif PUPUK dan penggunaan PIK sebagai titik sentuhan, dapat membantu dan memberi bimbingan kepada usahawan mikro terutama di luar bandar," katanya.

Kongsi artikel ini
Follow