Pusat Media

Langkah MCMC turun kandungan sentuh 3R, iklan judi dalam talian, wajar - Pakar

15 Dis 2023, Berita Harian

KUALA LUMPUR: Langkah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengarahkan penyedia platform media sosial seperti Facebook dan TikTok menurunkan kandungan berunsur 3R (bangsa, agama dan raja), iklan judi dalam talian serta kenyataan jelik disifatkan sebagai wajar bagi menjaga sensitiviti, keselamatan dan kepentingan negara.

Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Noor Nirwandy Mat Noordin, berkata walaupun Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan mengenai kebebasan rakyat mengeluarkan pendapat dan buah fikiran, ia tidak bersifat mutlak.

Beliau berkata, sebagai contoh Perkara 10(4), rakyat Malaysia dilarang mempersoal isu kewarganegaraan, Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, hak-hak istimewa Orang Melayu dan Bumiputera serta kedaulatan raja-raja.

"Semua orang ada hak bersuara tetapi kita juga harus melihat padanan tertentu sama ada ia boleh menjejaskan keselamatan negara, menimbulkan satu bentuk ketidaktentuan dalam negara dan menjejaskan kepentingan negara.

"Harus diingat kebebasan bersuara itu datang dengan hak dan tanggungjawab," katanya ketika menjadi tetamu program Malaysia Petang Ini terbitan BERNAMA TV, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan bahawa pemilik Facebook iaitu Meta dan TikTok China telah menyekat sebilangan besar hantaran di akaun serta media sosial di Malaysia dalam tempoh enam bulan pertama 2023. Ini berlaku di tengah-tengah lonjakan permintaan kerajaan untuk menurunkan kandungan.

Menurut laporan itu, Meta menyatakan bahawa antara bulan Julai 2022 dan Jun 2023, ia telah menyekat akses kepada lebih 3,500 item sebagai respons kepada laporan pengawal selia komunikasi negara serta agensi kerajaan yang lain.

Kandungan yang disekat termasuk kritikan terhadap kerajaan dan hantaran yang didakwa melanggar undang-undang berkaitan judi haram, ucapan kebencian, kandungan yang memecahbelahkan kaum dan agama, bersifat membuli dan penipuan kewangan.

Sebelum ini, Kementerian Komunikasi dan Digital mempertimbang langkah mewajibkan semua penyedia perkhidmatan platform media sosial yang beroperasi di Malaysia berdaftar dengan MCMC bagi memastikan mereka memahami serta mematuhi aspek perundangan negara.

Pada November lalu, Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital Teo Nie Ching berkata MCMC tidak berperanan sebagai polis Internet sebaliknya memberikan bantuan teknikal berhubung siasatan, pembekalan maklumat, analisis forensik digital, pelaksanaan tindakan sekatan atau penurunan kandungan berdasarkan permohonan Polis Diraja Malaysia atau aduan lain.– BERNAMA

Kongsi artikel ini
Follow