Pusat Media

MCMC, KNOLSKAPE menang Anugerah Emas bagi program kepimpinan digital

23 Dis 2023, Wilayahku

SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia (MCMC) menerima Anugerah Emas bagi program kepimpinan digitalnya dalam Anugerah Kecemerlangan Teknologi Brandon Hall Group 2023 yang baru berakhir.

Ia merupakan tahun kedua berturut-turut menyaksikan MCMC memenangi  Anugerah Kecemerlangan Teknologi Brandon Hall Group yang berprestij dengan kerjasama KNOLSKAPE.

MCMC dalam kenyataan hari ini berkata selain itu MCMC turut diiktiraf dalam kategori, Best Advance in Gaming or Simulation Technology bagi Program Pembangunan All-Star.

Suruhanjaya itu menyasarkan untuk mengukuhkan pasukan kepimpinannya khususnya dalam kalangan ketua jabatan dan pengarah, dengan memberi tumpuan dalam dua bidang utama iaitu mengalihkan minda ke arah pemikiran ekosistem luaran dan melengkapkan peserta dengan pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan untuk menjadi Pemimpin Mampan dengan Keupayaan Kepimpinan Digital.

Menurut kenyataan itu, bersama KNOLSKAPE, ia merangka Program Pembangunan All-Star sebagai pad pelancaran untuk perjalanan kepimpinan digital selama tiga tahun bagi menangani jurang pemimpin yang dapat menguasai digital.

Program All-Star merupakan program campuran berasaskan simulasi selama tiga bulan yang menekankan modul perniagaan dan digital dalam perniagaan dan konteks strategik luaran MCMC.

Menurut Ketua Pegawai Sumber Manusia MCMC, Dr Murugappan pencapaian Program Pembangunan All-Star merupakan satu kejayaan besar dalam menyediakan pemimpin taktikal untuk menjadi pemimpin masa depan.

Program itu memberi tumpuan kepada transformasi digital terkemuka dan disampaikan dengan teknologi gamifikasi dan simulasi canggih di platform KNOLSKAPE, katanya.

Sementara itu, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif KNOLSKAPE, Rajiv Jayaraman berkata KNOLSKAPE komited untuk membantu organisasi dan pemimpin bersedia untuk masa depan melalui pembelajaran berasaskan pengalaman.

“Pengiktirafan daripada Brandon Hall Group atas usaha yang telah kami laksanakan untuk MCMC adalah pengiktirafan penting terhadap impak yang telah kami lakukan.

“Meraih Anugerah EMAS dalam kategori Best Advance in Gaming or Simulation Technology hadir pada saat penting tumpuan inovasi kami. Cadangan nilai pembelajaran mendalam kami untuk pelajar dan kecerdasan bakat, skalabiliti dan penyampaian fleksibel untuk organisasi, membantu kami menyampaikan hasil pembelajaran, prestasi dan hasil perniagaan yang berharga,” katanya.

Penyertaan bagi anugerah tersebut dinilai oleh panel yang terdiri daripada veteran, pakar industri kanan bebas, penganalisis dan eksekutif Brandon Hall Group berdasarkan kriteria iaitu kesesuaian, keperluan, reka bentuk program, fungsi, inovasi dan manfaat yang boleh diukur secara keseluruhan. – BERNAMA 

Kongsi artikel ini
Follow