Pusat Media

Pihak berkuasa negeri perlu fahami kepentingan JENDELA untuk permudah kerjasama - MCMC

28 Dis 2020, Bernama

KUALA LUMPUR, 28 Dis -- Pihak berkuasa negeri perlu memahami kepentingan Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) untuk memudahkan mereka bekerjasama dan terlibat dalam inisiatif digital tersebut, kata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Pengerusinya Dr Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek berkata kebanyakan pihak berkuasa negeri tidak menolak MCMC tetapi sebaliknya berusaha sedaya mungkin untuk memenuhi keperluan yang ditetapkan. 

“Di sinilah kita lihat betapa pentingnya komunikasi. Pandemik COVID-19 telah menyedarkan kepada pihak berkuasa akan kepentingan prasarana telekomunikasi. 

“Ada hikmahnya…kami merasakan sudah sampai masanya untuk kita memulakan ini (membangunkan prasarana telekomunikasi) kerana kita melihat negeri-negeri kini bersaing antara satu sama lain (bagi teknologi yang lebih baik) dan ini merupakan usaha kami untuk menyakinkan mereka (menerusi Jendela),” katanya kepada Bernama.  

Beliau berkata demikian semasa muncul sebagai tetamu di rancangan bual bicara Bernama TV ‘The Nation’ yang disiarkan hari ini.  

Mengenai cabaran yang dihadapi untuk memulakan inisiatif ini, Fadhlullah Suhaimi berkata pengendali telekomunikasi perlu memasang kabel optik gentian dan mendirikan menara, yang bermakna mereka perlu berurusan dengan perkara yang berkaitan dengan tanah.

“Anda perlu berurusan dengan pejabat tanah untuk mendapatkan kelulusan menggunakan tanah,” katanya. 

Proses itu termasuklah juga pengkategorian tanah serta ukuran tanah yang akan membolehkan pelaksanaan aktiviti yang baru dikategorikan, selaras dengan undang-undang negara. 

Apabila pengendali selesai dengan urusan tanah, yang boleh mengambil masa hingga berbulan-bulan dan kadang-kadang sampai setahun, pengendali perlu berurusan dengan pihak berkuasa tempatan dan harus mematuhi peraturan yang lain pula. 

“Bayangkan, anda pergi ke sesebuah negeri dan terdapat banyak jabatan yang anda perlu dapatkan kelulusan, dan disebabkan itu anda berdepan banyak rintangan yang akan menyebabkan kelewatan yang lama kerana ada banyak prasyarat untuk segalanya,” katanya. 

Beliau berkata persiapan akan menjadi lebih mudah sekiranya semuanya telah tersedia, dan itulah sebabnya mengapa suruhanjaya itu menyasarkan dasar bagi menjadikan telekomunikasi sebagai utiliti ketiga. 

“(Mengenai persepsi umum) saya rasa hari ini disebabkan oleh media sosial, kita mempunyai banyak akses kepada maklumat - sama ada maklumat betul, salah dan kabur. 

“Biasanya ia berkaitan dengan menara baharu bagi prasarana mudah alih, apabila orang ramai sering bimbangkan tentang lapangan magnetik elektronik  (EMF). 

“Ada yang mengatakan jika anda terdedah kepadanya, anda akan mendapat kanser, oleh itu, mereka tidak mahu tinggal berdekatan dengannya kerana ia mungkin mengurangkan nilai tanah mereka, walaupun mereka (masih) mahukan perkhidmatan (selular) di rumah mereka, tetapi tidak mahu menara dibina berdekatan rumah mereka,” katanya.

Fadhlullah Suhaimi berkata MCMC akan terus memberikan kesedaran dalam kalangan masyarakat dan agensi lain juga akan turut terlibat menyokong tetapi untuk mengubah sesuatu persepsi bukan boleh dibuat dalam masa yang singkat dan perlu dilakukan secara berterusan. 

Menurutnya, susulan pelaksanaan Jendela, MCMC mendapatkan khidmat perancang rangkaian untuk merancang semula rangkaian. 

“Sebelum ini, orang merancang rangkaian untuk memenuhi trafik di kawasan tertentu tetapi disebabkan oleh pandemik COVID-19, kita melihat pergerakan trafik dan justeru itu dengan Jendela, anda akan mempunyai susun atur kapasiti yang tidak seragam.  

“Ini bermakna tidak kira sama ada anda di kawasan bandar, pinggir bandar atau luar bandar -- rangkaian akan disusun sama rata, itulah tujuan sebenar Jendela,” katanya.

Kongsi artikel ini
Follow