Pusat Media

Tabung Kemanusiaan Kementerian Diagih Kepada Dua Negeri - Ahmad Shabery

19 Apr 2014, bernama
KEMAMAN, 19 April (Bernama) -- Sebanyak RM352,258 hasil kutipan Tabung Kemanusiaan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (TKKMM) akan dibahagikan kepada dua negeri yang dilanda banjir teruk, awal Disember lepas.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata jumlah kutipan TKKMM akan dibahagikan sama rata kepada mangsa-mangsa banjir di Terengganu dan Pahang dengan setiap negeri akan memperoleh sebanyak RM176,129.

Menurutnya penerimaan orang ramai terhadap kaedah derma menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) kini membuahkan hasil positif dan mendapat sambutan mengalakkan.

"Kita sedar ada orang nak beri sumbangan tetapi tidak tahu saluran manakah yang sesuai dan memudahkan mereka. Justeru, kita telah lancar dan perkenalkan kaedah kutipan derma menerusi SMS ini bermula dengan bantu mangsa Taufan Haiyan yang melanda Filipina November lalu dan ia dilihat memberangsangkan," katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan kutipan wang TKKMM berkenaan kepada Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said dan wakil negeri Pahang Datuk Shahaniza Shamsuddin yang juga Exco Pembangunan Wanita dan Keluarga, Komunikasi dan Multimedia negeri dalam majlis ringkas di sini.

Program TKKMM 'SMS 13999' digerakkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dengan kerjasama syarikat-syarikat telekomunikasi utama negara iaitu Celcom, Maxis, DiGi dan U-Mobile, bermula 10 Dis 2013 hingga 10 Jan lepas.

Ia dilancarkan bagi membolehkan orang ramai menghulurkan bantuan menerusi SMS kepada mangsa-mangsa banjir di seluruh negara agar dapat bersama-sama meringankan beban dan penderitaan mangsa banjir yang kehilangan harta benda serta tempat tinggal.

Dalam perkembangan sama Ahmad Shabery berkata sebanyak RM92,000 berjaya dikumpul dalam projek pertama bagi membantu mangsa Taufan Haiyan.

Ia menjadikan keseluruhan TKKMM berjumlah RM434,000 dalam kedua-dua kutipan itu, katanya.
Kongsi artikel ini
Follow