Pusat Media

Tiada bayaran tambahan untuk dapat akses 5G - Fahmi

09 Jan 2024, Sinar Harian

PUTRAJAYA - Tiada bayaran tambahan akan dikenakan oleh syarikat telekomunikasi kepada pengguna untuk mendapatkan akses rangkaian 5G, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Dalam sidang media selepas sesi ujian kualiti perkhidmatan selular (panggilan suara) di sini pada Selasa, beliau berkata, keputusan untuk tidak mengenakan bayaran bagi mendapat akses 5G itu dimaklumkan oleh semua ketua pegawai eksekutif syarikat telekomunikasi kepada beliau.

"Sehubungan itu, pengguna mempunyai pelbagai pilihan penawaran pelan dan perkhidmatan tambahan berdasarkan kesesuaian penggunaan individu. Pengguna bagaimanapun perlu memastian peranti yang digunakan menyokong rangkaian 5G,” katanya.

Pada 7 November 2023, Fahmi dilaporkan berkata, capaian rangkaian 5G di Malaysia kini ialah 73 peratus.

Sebelum ini, beliau dilaporkan berkata, kerajaan akan mempertimbangkan untuk mengambil tindakan terhadap syarikat telekomunikasi (telco) yang mengenakan bayaran tambahan kepada pelanggan sedia ada mereka untuk mengakses perkhidmatan 5G.

Sementara itu, Fahmi menggesa semua pengendali rangkaian mudah alih untuk memberi perhatian serius terhadap segala permasalahan berkaitan telekomunikasi yang diutarakan rakyat.

"Rakyat berhak mendapatkan perkhidmatan berkualiti yang setimpal nilainya dengan langganan perkhidmatan,” katanya.

Ditanya status capaian rangkaian 5G di Malaysia ketika ini, beliau berkata, perkara berkenaan akan diumumkannya dalam sidang media selepas mesyuarat Kabinet dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim esok.

Fahmi berkata, turut akan diumumkan ialah status Digital Nasional Bhd (DNB) sama ada diletakkan di bawah Kementerian Komunikasi atau Kementerian Digital.

"Dua-dua ini akan saya umum esok. Saya kena bawa ke Kabinet dulu,” katanya.

Anwar ketika melaksanakan rombakan Kabinet pertama Kerajaan Perpaduan pada 12 Dis lepas mengumumkan penstrukturan semula Kementerian Komunikasi dan Digital yang dipisahkan kepada Kementerian Komunikasi dan Kementerian Digital. - Bernama

Kongsi artikel ini
Follow