Pusat Media

Kepentingan Pengguna Sentiasa Jadi Keutamaan MCMC

08 Mac 2019
KEPENTINGAN PENGGUNA SENTIASA JADI KEUTAMAAN MCMC

CYBERJAYA, 8 Mac 2019 --- Kepentingan pengguna sentiasa menjadi keutamaan pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam usaha untuk menyediakan suatu perkhidmatan telekomunikasi yang teguh kepada negara. Pada Februari 2019, beberapa inisiatif telah disokong dan dilaksanakan oleh MCMC yang merangkumi:

Pelancaran Projek Rintis Terragraph
Pelancaran projek rintis pasaran Terragraph oleh syarikat YTL Communications dan Facebook di Georgetown, Pulau Pinang baru-baru ini, dilihat sebagai satu langkah ke hadapan dalam usaha memajukan infrastruktur digital negara sekaligus membolehkan capaian jalur lebar yang lebih luas untuk rakyat.

Projek rintis pasaran selama enam bulan itu merangkumi penyediaan kemudahan Wi-Fi awam dan Akses Talian Tetap Tanpa Wayar yang berpotensi untuk mengatasi cabaran-cabaran yang dihadapi di kawasan-kawasan bandar umpamanya peningkatan lebar jalur setiap kilometer persegi, kos pemasangan kabel gentian optik yang tinggi, infrastruktur tembaga sedia ada dan spektrum berfrekuensi rendah yang terhad.

Pelancaran projek rintis itu adalah sejajar dengan Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) yang bermatlamat mengatasi masalah di kawasan bandar di mana permintaan untuk jalur lebar berkelajuan tinggi adalah tinggi namun capaiannya agak kurang.  Malaysia merupakan negara kedua di dunia selepas Hungary yang melaksanakan projek rintis Terragraph itu.

Kompaun-kompaun Kepada Penyedia-Penyedia Perkhidmatan Atas Pelbagai Kesalahan
Bagi tempoh antara Januari hingga Februari 2019, MCMC telah mengeluarkan sebanyak 63 kompaun berjumlah RM2.32 juta kepada beberapa penyedia perkhidmatan untuk pelbagai kompaun termasuk kegagalan mematuhi Standard Mandatori untuk Kualiti Perkhidmatan (MSQoS) dalam Rangkaian dan Khidmat Pelanggan, pendaftaran palsu, menurunkan bahan promosi pesaing, gagal untuk berunding dengan pelanggan dan menangani aduan pengguna sejajar dengan MSQoS serta peruntukan-peruntukan lain yang digariskan dalam Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.

Sebagai pengawal selia industri ini, MCMC memberi penekanan kepada keunggulan perkhidmatan pelanggan dan tidak akan berkompromi dengan penyedia-penyedia perkhidmatan yang gagal untuk mengekalkan standard yang telah ditetapkan dalam AKM 1998, MSQoS mahupun Tata Amalan Kod Pengguna (GCC).

Inisiatif-inisiatif Untuk Memastikan Kualiti Perkhidmatan Berterusan Dalam Kalangan Penyedia Perkhidmatan
Di samping itu, dalam usaha untuk menjamin kualiti perkhidmatan berterusan dalam kalangan penyedia perkhidmatan serta juga dalam sektor pos dan kurier, MCMC merancang untuk melaksanakan beberapa inisiatif dalam tempoh terdekat yang merangkumi:
  1. Memberikan kemas kini yang kerap dalam laman sesawang MCMC mengenai prestasi penyedia perkhidmatan berpandukan kepada beberapa kriteria seperti Masa Bertindak ke atas Aduan, Notis Ketidakpatuhan dan hasil dapatan MSQoS,
  2. Menganjurkan Industry Star Rating Award bertujuan untuk menyemai budaya pematuhan dan menyediakan insentif untuk meningkatkan prestasi dalam kalangan penyedia perkhidmatan. Di bawah Industry Star Rating Award ini, penilaian ke atas penyedia-penyedia perkhidmatan akan dinilai berpandukan kepada parameter-parameter seperti kepuasan pelanggan, kualiti perkhidmatan, pelaburan rangkaian dan pematuhan kepada AKM 1998.
Regional Regulators Forum (RRF) dan Telecommunications and Media Forum (TMF) 2019
Pihak Suruhanjaya telah menjadi tuan rumah kepada Forum RRF dan TMF 2019 di Kuala Lumpur dari 12 hingga 14 Februari lalu. Kedua-dua forum berkenaan menarik kehadiran 150 pengawal-pengawal selia ICT, pembuat-pembuat dasar dan pakar-pakar industri dari 18 buah negara seperti Brunei, Kemboja, Laos, Singapura, Vietnam, Hong Kong, India, Ireland, Jamaica, New Zealand, Nigeria, Portugal, Taiwan, Afrika Selatan, United Kingdom, Jerman, Filipina dan Indonesia.

Forum-forum tersebut membincangkan isu-isu berkaitan dengan ketersambungan dan capaian sebagai enabler utama kepada pertumbuhan digital, inisiatif-inisiatif keselamatan siber untuk memperkasakan pengguna serta jaminan perlindungan pengguna, persaingan yang adil dan pelan tindakan 5G.
 
TAMAT
Kongsi artikel ini
Follow