Pusat Media

Malaysia Beralih Daripada Siaran TV Analog Ke Siaran TV Digital Secara Berperingkat

06 Ogo 2019
MALAYSIA BERALIH DARIPADA SIARAN TV ANALOG KE  SIARAN TV DIGITAL SECARA BERPERINGKAT   
 
  • Peralihan rintis di Pulau Langkawi sejak 21 Julai 2019 telah berjalan dengan jayanya
  • Model yang dilaksanakan di Pulau Langkawi akan diguna pakai di seluruh negara  
LANGKAWI, 6 Ogos 2019 --- Kerajaan hari ini mengumumkan peralihan rintis siaran TV Analog ke siaran TV Digital di seluruh negara secara berperingkat sehingga 30 September 2019.  Peralihan siaran TV Analog ini menandakan kesediaan industri penyiaran TV terestrial ke era digital. 
Majlis Pengumuman Peralihan Siaran TV Analog ke TV Digital myFreeview yang berlangsung di Kompleks Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APAM), Pulau Langkawi itu telah disempurnakan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, YB Gobind Singh Deo.  

Berikut adalah tarikh-tarikh peralihan rintis siaran TV analog mengikut wilayah: 


Peralihan daripada siaran TV Analog ke siaran TV Digital di seluruh negara ini adalah berikutan hasil kejayaan ujian rintis yang telah dijalankan di Pulau Langkawi oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama pihak industri penyiaran sejak 21 Julai 2019.  
Sepanjang ujian rintis tersebut, pelbagai kempen pendidikan dan kesedaran telah dianjurkan bagi meningkatkan pengetahuan orang ramai mengenai manfaat peralihan daripada siaran TV analog ke siaran TV Digital.  

Sukacita dimaklumkan bahawa siaran TV Digital kini telah mencapai 72,075 penduduk tempatan melalui pemancaran menggunakan kaedah TV terestrial dan satelit. 

Justeru itu, model yang dilaksanakan di Pulau Langkawi ini akan diguna pakai di seluruh negara.  Apapun, Kerajaan hanya akan melaksanakan penutupan siaran TV analog sepenuhnya setelah rakyat benar-benar bersedia untuk menerima peralihan itu.  

Rakyat yang masih menonton siaran TV analog adalah disaran untuk mengambil langkah-langkah berikut bagi terus menikmati siaran TV percuma: a. Mendapatkan dekoder dan aerial Ultra High Frequency (UHF) serta memasang kepada TV set yang sedia ada; atau b. Mendapatkan Integrated Digital TV (IDTV) yang telah dilengkapi dengan dekoder dan memasang kepada aerial UHF Perkhidmatan TV analog akan digantikan dengan siaran TV Digital myFreeview yang kini berada di seluruh Malaysia. Ia menawarkan pelbagai saluran TV secara percuma dengan resolusi serta kualiti gambar dan bunyi yang lebih jelas secara definisi standard (SD) dan definisi tinggi (HD). 

Sebanyak 15 saluran TV dan enam (6) saluran radio boleh didapati pada platform TV Digital myFreeview yang disediakan oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM), Media Prima, TV AlHijrah, dan Bernama News Channel (BNC). Beberapa saluran TV baharu juga bakal disiarkan di platform TV Digital myFreeview dalam tempoh terdekat. 

Perkhidmatan siaran TV Digital ini adalah antara usaha Kerajaan untuk merapatkan jurang digital merangkumi penduduk di kawasan bandar, pinggir bandar dan luar bandar. Ia sejajar dengan konsep Kemakmuran Bersama Kerajaan yang membolehkan rakyat menikmati perkhidmatan TV Digital secara percuma, tanpa langganan bulanan. 

Selain itu, ia memberi pilihan kepada rakyat untuk menonton pelbagai saluran TV, radio dan aplikasi baharu seperti membeli-belah dalam talian, informasi semasa, pendidikan interaktif, dan rancangan-rancangan yang lain.  Dengan adanya aplikasi-aplikasi seperti membeli-belah dalam talian, rakyat juga berpeluang untuk menambah sumber pendapatan melalui pemasaran produk-produk atau perkhidmatan mereka menggunakan platform TV Digital. 

Untuk maklumat lanjut, sila layari laman sesawang www.myfreeview.tv atau hubungi di talian 1-800-181-088.   
Kongsi artikel ini
Follow