Pusat Media

MCMC Menjangkakan Tahun 2020 Yang Lebih Baik Susulan Teras Pencapaian Tahun 2019 Yang Progresif

31 Dis 2019
MCMC MENJANGKAKAN TAHUN 2020 YANG LEBIH BAIK SUSULAN TERAS PENCAPAIAN TAHUN 2019 YANG PROGRESIF  
  • MCMC telah melancarkan inisiatif utama strategic berhubung pendigitalan dan kesalinghubungan sepanjang tahun 2019
  • Inisiatif-inisiatif teras termasuklah – pelancaran NFCP, Pameran 5G Malaysia, Projek Demonstrasi 5G, permulaan kajian kerangka kerja Identiti Digital Kebangsaan, dan penyempurnaan penutupan siaran TV Analog 
 
CYBERJAYA, 31 Disember 2019 –  Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mencatatkan pencapaian yang progresif pada tahun 2019 dengan pelaksanaan pelbagai inisiatif utama strategik yang menyumbang kepada transformasi pendigitalan dan kesalinghubungan di Malaysia. 
 
Antara inisiatif utama termasuk pelancaran Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP), Pameran teknologi generasi kelima, atau 5G Malaysia, pengumuman rangka kerja Identiti Digital Kebangsaan dan peristiwa penutupan siaran TV analog yang bersejarah. 
 
MCMC dapat melaksanakan program dan inisiatif strategik tersebut walaupun dalam persekitaran ekonomi yang mencabar, hasil usaha dan kerjasama yang diberikan oleh semua pihak berkepentingan termasuk orang ramai. 
 
Antara kisah kejayaan yang dikecapi pada tahun 2019 adalah pelaksanaan Standard Mandatori untuk Harga Capaian (MSAP), yang mengurangkan harga pakej jalur lebar berkelajuan tinggi lebih daripada 40%, melepasi sasaran awal sebanyak 25%. Inisiatif ini memberi manfaat kepada jutaan isi rumah dan perniagaan di Malaysia, terutamanya perusahaan mikro, kecil dan sederhana. Selain MSAP, penyedia perkhidmatan juga memanfaatkan kesempatan untuk menawarkan kelajuan jalur lebar yang lebih pantas pada harga yang sama atau lebih rendah kepada pelanggan baharu dan sedia ada, sejajar dengan wawasan Menteri Komunikasi dan Multimedia, YB Gobind Singh Deo untuk “kelajuan jalur lebar berganda pada separuh harga”. 
 
Pelan dinamik lima tahun iaitu NFCP telah dilancarkan pada 19 September 2019 bagi memantapkan lagi kesalinghubungan digital negara dan memastikan prasarana penting disediakan untuk menawarkan kesalinghubungan digital yang mampan, menyeluruh, mampu milik dan berkualiti tinggi untuk setiap rakyat Malaysia. Pelbagai usaha dan pemikiran yang utuh telah digabungkan dalam merealisasikan tujuh (7) sasaran utama NFCP. Fasa pertama projek NFCP akan dianugerahkan kepada pemegang lesen yang berjaya pada Januari 2020 nanti, menandakan permulaan pelaksanaan NFCP. 
 
Malaysia telah muncul sebagai peneraju dalam memperkenalkan 5G di rantau ASEAN. Sehingga 30 September 2019, Projek Demonstrasi 5G telah melibatkan sebanyak 55 kes kegunaan di 32 lokasi di enam (6) buah negeri di seluruh negara. Malaysia berada di landasan yang betul dalam pengkomersialan 5G pada pertengahan tahun 2020, memandangkan peningkatan permintaan untuk kesalinghubungan yang cukup pantas seiring dengan perkembangan ekonomi global. Pada April 2019, MCMC telah menganjurkan Pameran 5G di Putrajaya yang memberi peluang kepada rakyat Malaysia untuk melihat secara langsung manfaat-manfaat 5G dan bagaimana ia mempengaruhi kehidupan rakyat jelata. 5G dijangka memberi manfaat kepada sektor industri utama seperti pertanian, automotif, pendidikan, penjagaan kesihatan, pembuatan, media dan hiburan. 
 
Satu lagi peristiwa penting yang diumumkan pada tahun 2019 adalah pengenalan inisiatif Identiti Digital Kebangsaan. Kerajaan telah mempertanggungjawabkan MCMC untuk tampil dengan satu rangka kerja Identiti Digital Kebangsaan yang selamat dan terjamin, membabitkan sesi libat urus dengan pihak-pihak berkepentingan sepanjang tahun. Setelah melalui proses perolehan yang ketat, MCMC telah melantik firma perunding untuk menjalankan kajian Identiti Digital Kebangsaan yang menyeluruh selama tujuh setengah bulan bermula dari 21 November 2019. Kajian ini akan tertumpu kepada penentuan model pelaksanaan yang sesuai, analisis manfaat kos, serta pelaksanaan strategi yang akan memanfaatkan kepentingan bersama dalam kalangan rakyat, perniagaan dan Kerajaan. 
 
Penyempurnaan penutupan siaran TV Analog (ASO) di bawah Projek Digitalisasi Penyiaran Nasional adalah satu peristiwa yang bersejarah bagi MCMC dan Malaysia. Penutupan ASO terakhir di Sabah dan Sarawak pada 31 Oktober 2019, menandakan peralihan rasmi daripada siaran TV analog tradisional kepada siaran TV Digital Terestrial (DTT). ASO bertujuan untuk memenuhi kualiti transmisi televisyen yang lebih baik untuk rakyat Malaysia.  Kira-kira dua (2) juta dekoder myFreeview percuma telah diedarkan kepada penerima B40 terpilih. 
 
“MCMC sedar akan cabaran-cabaran baharu dan perkembangan teknologi pengganggu yang akan memberi impak kepada semua sektor. Oleh itu, dalam usaha kita menuju ke dekar baharu, terdapat banyak lagi inisiatif yang kita sedang laksanakan, umpamanya pelaksanaan projekprojek demonstrasi NFCP dan pengkomersialan 5G menjelang suku ketiga 2020. Ini adalah pelan terbesar yang bakal menjadi asas kepada kemaraan negara ke dekat seterusnya dan menjadi teras penting kepada Malaysia untuk kekal berdaya saing dari segi aspek ekonomi, sejajar dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030,” kata Pengerusi MCMC, Al-Ishsal Ishak. 
 
Untuk mendalami perjalanan MCMC sepanjang tahun 2019, tontonilah video Mengimbas Kembali 2019 pada pautan berikut: https://youtu.be/M4ZH9ZYwzqg 
 
PDF
Kongsi artikel ini
Follow