Pusat Media

MCMC Akan Beri Kemas Kini Berkala Kepada Rakyat Ketika Ia Terus Menerajui Pertumbuhan Industri

11 Feb 2019

MCMC AKAN BERI KEMAS KINI BERKALA KEPADA RAKYAT KETIKA IA TERUS MENERAJUI PERTUMBUHAN INDUSTRI KOMUNIKASI DAN MULTIMEDIA
 
Paling utama adalah Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) untuk menyokong ekonomi digital negara dan menerima Revolusi Industri Keempat
 

CYBERJAYA, 11 Februari 2019 --- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) hari ini mengumumkan, pihaknya akan memberikan kemas kini dari semasa ke semasa kepada rakyat mengenai pelbagai inisiatif berkaitan dengan industri komunikasi dan multimedia tatkala ia terus menerajui fasa pertumbuhan industri negara yang berikutnya.

“Rakyat merupakan pihak berkepentingan utama kepada Suruhanjaya, justeru, adalah hanya betul untuk kita memasukkan mereka sebagai sebahagian daripada perjalanan pertumbuhan industri ketika kesalinghubungan kini menjadi aspek utama dalam kehidupan seharian mereka dan pemangkin untuk memacu pembangunan ekonomi,” kata Pengerusi MCMC, Al-Ishsal Ishak.

Pada 8 Januari 2019 yang lalu, projek rintis Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) telah dilancarkan dengan jayanya di Jasin, Melaka oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, YB Gobind Singh Deo. Projek rintis NFCP itu yang menjadi antara projek pertama dirancang untuk masa depan, adalah hasil kerjasama antara Kerajaan Negeri Melaka, Majlis Perbandaran Jasin dan Setia Haruman Technology (sebuah subsidiari Tenaga Nasional Berhad), bersama-sama dengan MCMC.

“Kesalinghubungan merupakan satu senjata penting dalam memperkasakan komuniti baik dalam tindakan memberikan capaian kepada maklumat-maklumat yang berguna sehinggalah kepada usaha membantu perniagaan-perniagaan kecil. Dengan kejayaan pelancaran projek rintis NFCP di Melaka yang mana rakyat akan dapat menikmati kelajuan Internet sehingga 1Gbps (gigabit sesaat), MCMC akan terus komited untuk memastikan masyarakat luar bandar lain di seluruh negara akan menerima jalur lebar berkelajuan tinggi sejajar dengan matlamat kerajaan untuk memacu pertumbuhan ekonomi yang saksama dan inklusif,” katanya.

Malaysia naik enam anak tangga daripada kedudukan ke-41 kepada kedudukan ke-35 dalam kategori harga bakul jalur lebar talian tetap Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) menurut “Measuring The Information Society Report 2018” yang dikeluarkan oleh ITU pada 10 Disember 2018 yang lalu. Sementara, Ookla Speedtest Global Index sehingga Disember 2018 pula melaporkan, purata kelajuan muat turun jalur lebar talian tetap negara telah meningkat hampir tiga kali ganda kepada 63.48Mbps (mega bit sesaat) berbanding dengan 23Mbps pada Januari 2018.

Al-Ishsal bagaimanapun mengakui, masih ada banyak lagi yang perlu dilakukan terutamanya untuk para pengguna yang masih bergantung kepada infrastruktur tembaga yang menggunakan teknologi Digital Subscriber Line (DSL). Pelbagai pilihan, pada fasa pelaksanaan berlainan, telah diketengahkan untuk menangani keperluan kumpulan pengguna ini. Antaranya, penaiktarafan daripada tembaga kepada kesalinghubungan gentian optik atau melaksanakan teknologi tanpa wayar berkelajuan tinggi yang mana penaiktarafan talian wayar tidak dapat dilakukan.

    
Gambar 1                                                          Gambar 2
 

Gambar 1: MENTERI Komunikasi dan Multimedia, Tuan Gobind Singh Deo (tengah) melancarkan projek rintis Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP), di Jasin, disaksikan oleh Ketua Setiausaha KKMM; Dato’ Dr. Mohd Ali Mohamad Nor (kiri), ADUN Ayer Keroh;  YB Kerk Chee Yee (dua dari kiri), Pengerusi Tenaga Nasional Berhad; Tan Sri Leo Moggie (dua kanan) dan Pengerusi MCMC, Al-Ishsal Ishak (kanan sekali).
Gambar 2:  MENTERI Komunikasi dan Multimedia, Tuan Gobind Singh Deo (kiri, duduk) sedang menyaksikan dengan penuh teliti ujian-ujian yang sedang dijalankan ke atas rangkaian Internet oleh beberapa pegawai dari FELDA dan TNB selepas majlis pelancaran projek rintis NFCP di Jasin.

MCMC juga telah mula melihat kepada isu kesalinghubungan 5G sebagai sebahagian daripada NFCP. Sebuah Pasukan Petugas 5G, merangkumi lebih 50 ahli daripada pelbagai pihak berkepentingan termasuk pemegang-pemegang berlesen industri komunikasi dan multimedia, persatuan-persatuan perniagaan, vendor-vendor teknologi, pihak akademik, kementerian-kementerian, dan agensi-agensi yang berkaitan telah ditubuhkan untuk membangunkan satu strategi holistik bagi pelaksanaan 5G di Malaysia. Empat kumpulan kerja telah diwujudkan dalam Pasukan Petugas berkenaan yang memberi fokus kepada Perkara Bisnes (Business Case), Infrastruktur, Pengurusan dan Pengagihan Spektrum dan isu-isu kawal selia. Pasukan Petugas tersebut telah bermesyuarat sebanyak dua kali sejak ia ditubuhkan pada November 2018.

Bergerak seiring dengan Pasukan Petugas 5G ini ialah Inisiatif Ujian Rangkaian 5G yang akan melibatkan percubaan dan demonstrasi-demonstrasi kes penggunaan 5G di sekitar Putrajaya dan Cyberjaya.

“Kami telah menerima sebanyak 14 cadangan daripada pelbagai penyedia perkhidmatan komunikasi (telcos) dan vendor-vendor teknologi ternama untuk penganjuran Showcase 5G yang dirancang untuk suku kedua 2019. Showcase 5G ini akan merangkumi aplikasi-aplikasi merentasi pelbagai bidang termasuklah e-kesihatan, media/hiburan, bandar pintar, automotif dan pengangkutan, pertanian, kilang/pembuatan, tenaga, keselamatan awam dan pendidikan,” kata Al-Ishsal.

Beliau menambah, 5G akan memberikan impak yang signifikan ke seluruh negara, lebih-lebih lagi apabila ia berupaya untuk mentransformasikan kehidupan dalam cara yang tidak mungkin terlintas dalam fikiran sebelum ini. 5G membawa bersamanya aplikasi-aplikasi baharu dalam e-kesihatan, robotik, bandar pintar, kenderaan-kenderaan yang dipandu tanpa pemandu, keselamatan awam yang lebih baik dan cara pembelajaran baharu.

Baru-baru ini, satu taklimat media telah dianjurkan pada 29 Januari, untuk mengumumkan Laporan Prestasi Rangkaian 2018. Ini merupakan kali pertama taklimat media diadakan selepas beberapa tahun, dan ia memberi peluang kepada pihak media untuk bertanyakan soalan-soalan yang berkaitan dengan industri komunikasi dan multimedia. Taklimat-taklimat sedemikian akan diadakan dari semasa ke semasa untuk mengemukakan kemajuan yang telah dicapai dalam industri dalam usahanya bergerak ke arah kelajuan yang lebih pantas, perkhidmatan yang efisien serta capaian yang meluas.
 
                                         
                                                                Gambar 3                                                                           Gambar 4
 
Gambar 3:  PENGERUSI MCMC, Al-Ishsal Ishak, memberikan taklimat kepada pihak media mengenai Laporan Prestasi Rangkaian 2018 di Ibu Pejabat Lama MCMC di Cyberjaya.
Gambar 4: SATU sidang akhbar telah diadakan selepas berakhirnya taklimat media mengenai Laporan Prestasi Rangkaian 2018.

“MCMC turut komited dan terbabit secara aktif dalam kempen-kempen advokasi membasmi jenayah siber yang kian meningkat. Sebagai contohnya, pada Januari 2019, MCMC telah terbabit dalam beberapa temu ramah media untuk mengetengahkan pelbagai jenayah siber seperti Macau Scam, African Scam, penipuan dalam talian dan penipuan pinjaman. Sebanyak 12 artikel telah diterbitkan pada Januari yang berkaitan dengan isu tersebut,” dedah Pengerusi MCMC.

Dalam usaha untuk terus mendidik masyarakat mengenai risiko-risiko dan keselamatan Internet, hingga kini, MCMC telah menjalankan sebanyak 11,436 kali siaran pesanan khidmat masyarakat (PSA) di stesen-stesen radio dan televisyen, tiga (3) temu ramah dengan stesen-stesen radio tempatan, majalah-majalah dan paparan-paparan dalam Facebook. Sesi Train-the-Trainer turut dianjurkan kepada 496 orang pengurus-pengurus Pusat Internet terpilih dan penolong-penolong mereka yang sebelum ini pernah menghadiri program keselamatan Internet.

“Kesemua inisiatif-inisiatif ini yang dilaksanakan oleh MCMC sepanjang bulan Januari yang lalu mencerminkan komitmen dan keazaman pihak Suruhanjaya untuk menaikkan industri komunikasi dan multimedia Malaysia ke tahap yang lebih cemerlang menyedari bahawa industri tersebut merupakan salah satu asas utama kepada pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.
 

TAMAT

Muat Turun PDF
 

Kongsi artikel ini
Follow