Pusat Media

Kenyataan Media : Perkhidmatan Pemasangan Dan Penyelenggaraan Internet Kini Boleh Beroperasi Di Zon Hijau

19 Apr 2020
Perkhidmatan komunikasi dan Internet tergolong dalam kategori perkhidmatan perlu atau essential services dan dibenarkan untuk beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sebarang kerja pemasangan jalur lebar talian tetap, pembaikan, penyelenggaraan rangkaian dan pemasangan infrastruktur baharu boleh dijalankan tetapi perlu mengambil kira tahap keselamatan para pelanggan dan pekerja syarikat penyedia perkhidmatan, serta situasi semasa di lokasi yang dikenal pasti berisiko tinggi dengan jangkitan COVID-19.

Secara amnya, jika premis pelanggan terletak di dalam zon hijau yakni tidak ada sebarang kes positif COVID-19, kerja pemasangan jalur lebar talian tetap adalah dibenarkan.

Bagaimanapun, sekiranya premis berkenaan terletak di bawah zon kuning dan merah yakni mempunyai kes positif jangkitan COVID-19, kerja pemasangan jalur lebar talian tetap adalah tidak dibenarkan sama sekali. Untuk kerja-kerja pembaikan dan menyelesaikan masalah yang dihadapi pula, kakitangan syarikat telekomunikasi dan pihak pemasang adalah dibenarkan untuk memasuki premis pelanggan sekiranya kawasan berkenaan adalah di dalam zon hijau. Di zon kuning dan merah, mereka hanya boleh menyelesaikan masalah sehingga di pusat pengedaran (distribution point) sahaja.

Tindakan memasuki premis di zon kuning dan merah hanya dibenarkan untuk premis-premis yang menyediakan perkhidmatan perlu dan kritikal sahaja. Berkenaan dengan kerja-kerja penyelenggaraan, kakitangan adalah dibenarkan untuk memasuki premis pelanggan di zon hijau. Sementara di zon kuning dan merah, mereka harus menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan di luar premis melainkan ada keperluan untuk memasuki premis pelanggan. Sebelum dibenarkan untuk menjalankan kerja-kerja tersebut di premis pelanggan, pekerja syarikat penyedia perkhidmatan dan pelanggan perlu mengemukakan deklarasi kesihatan mereka terlebih dahulu. Pematuhan terhadap garis panduan untuk interaksi bersama pelanggan yang ditetapkan oleh syarikat penyelia perkhidmatan perlu dipatuhi. Pekerja syarikat penyedia perkhidmatan dan pelanggan juga perlu sentiasa memakai topeng muka dan mengamalkan penjarakan sosial demi keselamatan semua pihak.

Larangan kerja pemasangan, penyelenggaraan dan pembaikan di zon kuning dan merah dibuat kerana ia melibatkan kehadiran pihak penyedia perkhidmatan (sekurang-kurangnya dua orang pekerja) yang perlu memasuki kediaman pelanggan bagi menjalankan penilaian teknikal tentang ketersediaan premis pelanggan untuk pemasangan jalur lebar. Kerja pemasangan, penyelenggaraan dan pembaikan di kawasan zon kuning dan merah amat berisiko dan boleh menyebabkan para pekerja dan pelanggan terdedah kepada jangkitan COVID-19 sekaligus mengancam keselamatan kedua-dua pihak.

Sehubungan itu, kepada para pelanggan yang menetap di kawasan yang dikategorikan dalam zon kuning dan merah, mereka mempunyai pilihan untuk mendapatkan perkhidmatan jalur lebar tanpa wayar yang boleh dilanggan tanpa keperluan pemasangan di rumah, dengan melayari laman sesawang atau menghubungi terus syarikat telekomunikasi yang menawarkan pakej-pakej berkenaan.

-Tamat

PDF
Kongsi artikel ini
Follow