Pusat Media

Peranti Komunikasi Mestilah Diperakui

25 Dis 2018
PERANTI KOMUNIKASI MESTILAH DIPERAKUI
 
Walaupun MCMC sentiasa berusaha menggalakan para pengguna di negara ini untuk hanya menggunakan peranti yang diperakui, penggunaan peranti yang tidak diperakui masih berleluasa kerana mereka boleh membelinya dari serata dunia menerusi e-dagang. Konsumer mungkin masih tidak sedar bahawa semua peranti dan peralatan komunikasi yang dibeli perlu diperakui oleh SIRIM bagi membolehkannya digunakan di Malaysia, mengikut undang-undang dan peraturan-peraturan negara, termasuk Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (CMA) dan Peraturan-peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000.
 
Oleh kerana itu, terdapatnya peningkatan kes-kes gangguan frekuensi oleh peralatan dan peranti seperti DECT atau telefon tanpa wayar, pagar berpalang (boom gate) yang menggunakan pengimbas RFID, Audio/Visual transceivers dan booster mudah alih, sejak dua tahun kebelakangan ini. Berbanding tahun 2016, jumlah kes telah meningkat tiga kali ganda pada 2017 dan ianya sama pada tahun 2018.
 
Peranti dan peralatan yang memaparkan label luar negara, seperti CE atau FCC berkemungkinan tidak boleh digunakan di Malaysia dalam frekuensi yang sama untuknya beroperasi di negara asal jika frekuensi tersebut telah diperuntukan untuk kegunaan lain di sini, contohnya perkhidmatan selular. Penggunaan peranti atau peralatan akan menyebabkan kualiti perkhidmatan tersebut merosot, sekaligus memberi kesan terhadap konsumer. Kesannya lebih teruk jika gangguan menyebabkan perkhidmatan keselamatan seperti perkhidmatan kecemasan dan kawalan trafik udara terganggu.
 
Menerusi kempen Check Your Label, MCMC menasihatkan orang ramai untuk hanya membeli peranti dan peralatan komunikasi yang mempunyai label MCMC sebagai pengesahan bahawa peranti atau peralatan itu diperakui mengikut standard yang telah ditetapkan.
 
SIRIM adalah agensi yang dilantik oleh MCMC untuk mengeluarkan perakuan dan prosesnya telah diperincikan dengan jelas dalam laman sesawang SIRIM. Selain daripada mematuhi CMA dan Standard Teknik, kebaikan lain yang disenaraikan dalam laman sesawang SIRIM termasuklah melindungi hak pengguna, memastikan keselamatan orang ramai termasuk peralatan komunikasi lain serta memastikan tiada gangguan, kecacatan, kerosakan atau bahaya berlaku kepada produk komunikasi lain.
 
Kesemua prosedur adalah untuk memastikan konsumer selamat dan dilindungi dan MCMC sekali lagi memperingatkan individu dan syarikat supaya memastikan peranti dan peralatan mereka telah diperakui. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk kepada https://cyl.mcmc.gov.my.
 
 
 
Tamat
 
Kongsi artikel ini
Follow